Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 malam tadi bukan sahaja mengubah landskap politik negeri, malah meletakkan harapan baharu terhadap usaha menyelesaikan kemelut adat dan institusi tradisional yang menjadi perhatian rakyat sejak beberapa bulan lalu.
BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh 7 kerusi, sekali gus memberikan gabungan kedua-dua blok itu majoriti dua pertiga dengan keseluruhan 25 kerusi. Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 11 kerusi.
Keputusan itu memberikan BN-PN mandat politik yang kukuh untuk membentuk pentadbiran baharu dan pada masa sama berdepan persoalan lebih besar yang masih belum selesai — bagaimana kemelut berkaitan adat, institusi Undang Yang Empat dan institusi diraja Negeri Sembilan dapat ditangani secara berhemah?
Persoalan itu kini menjadi semakin penting kerana isu berkenaan bukan sekadar pertikaian politik antara parti, sebaliknya menyentuh struktur tradisi yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam sejarah dan sistem kenegaraan Negeri Sembilan.
Institusi Undang Yang Empat, khususnya Undang Luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau, merupakan institusi penting daripada sistem adat dan mempunyai peranan dalam proses pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Rakyat mahu isu adat diselesaikan
Selepas kempen PRN yang menyaksikan isu adat dan institusi diraja menjadi antara latar penting pilihan raya, perhatian masyarakat termasuk di luar Negeri Sembilan kini beralih kepada apakah tindakan kerajaan BN-PN pasca PRN di negeri tersebut.
Harapan yang semakin kedengaran ialah kemenangan tersebut tidak sekadar menghasilkan pertukaran kerajaan, tetapi turut membuka jalan kepada pemulihan keharmonian antara institusi politik, institusi diraja dan paling utama ialah institusi adat.
Namun, penyelesaian itu dijangka memerlukan pendekatan yang berhati-hati. Sebarang usaha memperkukuh kedudukan adat tidak seharusnya dilihat sebagai usaha memenangkan mana-mana pihak dalam pertikaian yang berlaku. Sebaliknya, tumpuannya perlu kepada pemeliharaan institusi, kepastian proses, penghormatan terhadap undang-undang serta memastikan adat yang diwarisi terus mempunyai tempat yang sewajarnya dalam sistem pemerintahan moden. Bukan sewenang-wenangnya dilaksanakan tanpa melibatkan Undang Berempat yang sah.
Kemelut yang tercetus sebelum PRN telah menunjukkan betapa sensitifnya hubungan antara institusi-institusi tersebut apabila berlaku pertikaian mengenai bidang kuasa dan tafsiran adat. Justeru, penyelesaian yang dicari selepas pilihan raya perlu mengurangkan konflik, bukannya membuka ruang kepada pertikaian baharu.
Tok Mat beri isyarat sebelum pilihan raya
Perkara itu turut mendapat perhatian Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum PRN. Beliau sebelum ini menyatakan bahawa BN mempunyai kaedah untuk menangani krisis berkaitan takhta dan adat Negeri Sembilan sekiranya diberikan mandat untuk kembali mentadbir negeri.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat bagaimanapun, tidak mendedahkan secara terbuka pendekatan tersebut dan meminta rakyat memberikan mandat terlebih dahulu kepada BN. Kenyataan itu kini kembali menjadi perhatian selepas BN-PN berjaya memperoleh kejayaan bergaya mengalahkan Pakatan Harapan termasuk menumbangkan “individu nombor satu DAP” iaitu Anthony Loke dan bekas Menteri Besar Aminuddin Harun.
Pendekatan yang dimaksudkan Tok Mat akan diterjemahkan dalam bentuk penyelesaian yang konkrit selepas kerajaan baharu dibentuk. Dalam konteks ini, kemenangan tersebut memberikan ruang politik yang jauh lebih besar kepada BN untuk melaksanakan apa yang pernah dijanjikan.
Namun, mandat politik tidak bermakna penyelesaian terhadap isu adat boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Pengukuhan adat bukan bermaksud menolak demokrasi
Cabaran utama kerajaan baharu di Negeri Sembilan kelak ialah mencari keseimbangan antara sistem demokrasi sedia ada dengan institusi adat yang telah menjadi sebahagian daripada identiti Negeri Sembilan. PRN kali ini sendiri jelas memperlihatkan bagaimana isu tersebut telah berkembang daripada persoalan politik kepada perbincangan lebih luas mengenai kedudukan institusi tradisional dalam sistem pemerintahan negeri.
Oleh itu, usaha memperkukuh adat tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pengembalian kepada sistem pemerintahan lama seperti mana disalah tafsir oleh beberapa pihak, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha memastikan institusi tradisional yang masih mempunyai kedudukan sah terus dihormati dan berfungsi mengikut kerangka undang-undang serta Perlembagaan. Malah ia juga selari dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKN9) itu sendiri yang mempunyai kedudukan jelas dalam Perlembagaan.
Ini juga penting bagi mengelakkan adat dijadikan bahan pertikaian politik setiap kali berlaku perubahan kerajaan.
Mandat besar datang bersama tanggungjawab besar
Dengan 25 kerusi, BN-PN mempunyai kedudukan yang lebih kukuh untuk membentuk kerajaan berbanding persefahaman politik sebelumnya antara BN dan PH. Namun, kekuatan tersebut juga membawa tanggungjawab yang besar dan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
Penyokong BN-PN khususnya kini mempunyai jangkaan bahawa kemenangan itu akan diterjemahkan kepada penyelesaian terhadap isu-isu yang menjadi antara faktor penting dalam suasana politik Negeri Sembilan sebelum pilihan raya. Bahkan suka atau tidak, perlu diakui bahawa momentum penolakan DAP-PH ini berlaku apabila kerajaan sebelumnya dilihat ‘melanggar’ adat dan mengenepikan peranan Undang Yang Empat.
Apa yang penting ialah memastikan hubungan antara kerajaan negeri, Istana Seri Menanti dan institusi Undang Yang Empat kembali berada dalam keadaan yang lebih harmoni dan jelas. Pada masa sama, kerajaan baharu perlu memastikan sebarang penyelesaian tidak dilihat sebagai kemenangan mana-mana kelompok politik atau pihak yang berkaitan.
Sebaliknya, matlamat akhirnya ialah memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan memastikan adat Negeri Sembilan terus dihormati oleh generasi akan datang. Bukan hanya bermanis di mulut tetapi akhirnya tidak dilaksanakan.
Masa membuktikan janji
Justeru, PRN Negeri Sembilan sudahpun berakhir dan rakyat telahpun membuat pilihan. Kini perhatian bukan lagi kepada siapa yang menang atau kalah, tetapi kepada apa yang akan dilakukan oleh kerajaan baharu dengan mandat rakyat tersebut.
Jika BN benar-benar mempunyai kaedah terbaik seperti yang dinyatakan Tok Mat sebelum ini, rakyat kini mempunyai hak untuk melihat bagaimana kaedah tersebut diterjemahkan kepada penyelesaian.
Bagi penyokong BN-PN yang berharap kemelut adat dapat diselesaikan, kemenangan ini dilihat sebagai peluang untuk mengembalikan ketertiban dan memperkukuh institusi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Ukuran sebenar ialah sama ada kerajaan baharu mampu mencari penyelesaian yang menghormati adat, undang-undang, institusi diraja, demokrasi dan kepentingan rakyat secara serentak.
Dalam sebuah negeri yang identitinya begitu rapat dengan Adat Perpatih, penyelesaian terbaik bukan sekadar menamatkan satu krisis politik tetapi ia harus memastikan adat terus hidup, institusi terus dihormati dan Negeri Sembilan kembali kepada kestabilan.






