KENYATAAN MEDIA BERSAMA
DYMM YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
YTM UNDANG YANG EMPAT
YTM TUNKU BESAR TAMPIN
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
AL-WATHIQU BILLAH, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Yang Teramat Mulia Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Bin Thahak Undang Luak Sungei Ujong, Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Bin Haji Mat Rashad Undang Luak Jelebu, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Bin Haji Abdullah Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim Bin Haji Yasin Undang Luak Rembau dan Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Bin Syed Idrus Al-Qadri Tunku Besar Tampin:
BAHASAWANYA Kami menegaskan bahawa isu adat dan takhta Negeri Sembilan Darul Khusus telah pun selesai dengan sempurnanya Proklamasi Penurunan Takhta YAM Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959. Proklamasi tersebut juga telah diterima dan diputuskan untuk dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan Darul Khusus yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Dato’ Ismail bin Lasim pada sidang bertarikh 15 September 2026. Pemakluman rasmi mengenainya juga telah dibuat kepada Majlis Raja-Raja oleh Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus melalui surat rasmi YAB Menteri Besar pada 21 September 2026.
BAHASAWANYA Kami juga menjunjung setinggi-tinggi kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 bersamaan 3 Jamadilawal 1448. Titah tersebut menyeru semua pihak dalam pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus agar mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja. Segala tindakan dan pelaksanaan juga hendaklah berlandaskan UUTKNS 1959. Maka adalah kami DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dengan penuh takzim menyambut baik titah seruan tersebut. Kami juga menegaskan bahawa segala urusan penurunan takhta dan pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus telah pun sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959.
BAHASAWANYA Kami juga menyambut baik Titah tersebut yang menyeru agar pihak luar untuk tidak mencampuri dan/atau mempolitikkan krisis takhta Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Kami menegaskan bahawa hal kedudukan takhta Yang di-Pertuan Besar adalah prerogatif mutlak YTM Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat dan UUTKNS 1959. Hak ini juga dilindungi oleh Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin bahawa pertikaian tentang hak naik takhta sesebuah Negeri hendaklah diputuskan hanya oleh pihak berkuasa, dan mengikut cara, yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu. Bagi Negeri Sembilan Darul Khusus, pihak berkuasa itu ialah Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959. Kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini. Mereka hendaklah menghormati kedaulatan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dan keluhuran adat serta UUTKNS 1959.
BAHASAWANYA Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus hendaklah taat, patuh dan akur terhadap ketetapan ini dan menjalankan kuasa selaras dengan Perkara 35 UUTKNS 1959. MAKA Kami selaku Raja Pemerintah Kerajaan Negeri Sembilan yang sah menurut Perkara 28 UUTKNS 1959 bertitah dan bersabda agar YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri menurut arahan pentadbiran YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan akur dengan ketetapan Kerajaan Negeri.
BAHASAWANYA Kami menegaskan menurut prinsip undang-undang perlembagaan dan pentadbiran, selewat-lewatnya pada 15 September 2026 iaitu selepas keputusan MMKN, YAM Tunku Muhriz tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan. Maka kami menegaskan selanjutnya bahawa sebarang fungsi dan kuasa pemerintahan selepas 15 September 2026 hendaklah dirujuk terus oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus kepada Kami selaku Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang sah menurut Perkara 28 UUTKNS 1959. Krisis takhta danadat ini telah selesai dan tidak wajar dipolemik dan/atau dipolitikkan seolah-olah ia masih lagi belum selesai dan kononnya kekal berpanjangan sehingga menggugat perjalanan kuasa pentadbiran negeri serta menjejaskan kesejahteraan rakyat. Hormatilah pentadbiran Kerajaan Negeri yang telah diberikan mandat besar oleh rakyat.
BAHASAWANYA Kami menegaskan bahawa titah YAM Tunku Muhriz membatalkan perkenan pelantikan sepuluh (10) EXCO Kerajaan Negeri Sembilan dan disusuli warta mengenainya adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. Sewaktu titah tersebut dibuat, YAM Tunku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus dan tidak boleh menjalankan fungsi pemerintahan. Oleh yang demikian, Kami dengan ini mengurniakan limpah perkenan kepada YAB Dato’ Ismail Bin Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Dato’ Mohd Faizal bin Ramli; YB Dato’ Haji Zaifulbahri bin Haji Idris; YB Dato’ Hj. Mustapha bin Nagoor; YB Tuan Siow Kong Choon; YB Puan Siti Nur Umaira binti Hasim; YB Datuk Haji Mohd Asna bin Haji Amin; YB Dato’ Mohd Razi bin Mohd Ali; YB Tuan Suhaimizan bin Bizar; YB Tuan Mohd Fairuz bin Mohd Isa dan YB Datuk Razali bin Abu Samah untuk terus mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Kami juga menitahkan dan mensabdakan agar anggota-anggota pentadbiran dan pelaksana Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus agar menberikan sepenuh kerjasama, setia dan taat kepada Kerajaan Negeri.
BAHASAWANYA YAB Menteri Besar hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi tanpa takut terhadap tekanan mana-mana pihak. Kami menegaskan bahawa sebarang isu berbangkit dalam soal adat dan takhta yang tertakluk di bawah Bahagian Pertama UUTKNS 1959 adalah untuk diuruskan oleh Kami selaku Raja Pemerintah Negeri Sembilan Darul Khusus. Pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah berjalan seperti biasa dan tiada lagi keperluan untuk YAB Menteri Besar menghadap YAM Tunku Muhriz untuk urusan pentadbiran Kerajaan Negeri kerana ketetapan adat, UUTKNS 1959 dan pendirian Kerajaan Negeri adalah jelas.
Kami juga menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus agar bertenang dan menjaga tutur kata. Rakyat juga diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang memecahbelahkan.
Akhir kalam semoga Allah SWT melimpahkan kebijaksanaan mengatasi emosi dan muafakat mengatasi perselisihan, demi kepentingan Negeri Sembilan Darul Khusus, kesejahteraan rakyat dan kemuliaan institusi diraja. Ibarat kata perbilangan, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” dan “usah dikusut yang telah selesai”.
Sekian.
Termaktub pada 20 haribulan Oktober, 2026 bersamaan 9 Jamadil’awal 1448H






