ADA APA DENGAN APP TUJU?

Beberapa hari ini hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat Malaysia dan netizen mengenai aplikasi mobil Tuju yang dikatakan dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn. Bhd. Pembinaannya bertujuan untuk menggantikan aplikasi Waze kerana terkait dengan data Israel. Sama seperti penggunaan Blackberry suatu ketika dahulu apabila ada kerajaan seperti Arab Saudi dan India mempertikaikan penggunaannya apabila datanya dihantar dan disimpan oleh RIM – Research in Motion Ltd di Kanada yang boleh menimbulkan isu keselamatan. 

Isu yang sama berlaku dan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam bagi melindungi maklumat Kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Pada masa sama, YAB Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan.

Tindakan ini dilihat tepat pada masanya namun rakyat agak skeptikal apabila tiba-tiba aplikasi Tuju yang tidak pernah didengari namanya sebelum ini, dicadang untuk digunakan secara meluas oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan lagi hanya wajib dipakai oleh penjawat awam yang dianggarkan lebih 1.6 juta di seluruh negara termasuk polis dan tentera.

Isunya di sini bukan lagi mengenai Waze terkait Israel tetapi mengenai Tuju yang dilihat langsung tidak berupaya menunjukkan arah yang betul untuk ke destinasi pilihan. Ini bukan lagi isu ketepatan arah tetapi jika arah yang ditunjukkan salah, atau jalan diberikan tidak betul, ini menunjukkan Tuju realitinya masih belum sedia digunakan. Seolah-olah Tuju belum siap sepenuhnya tetapi sudah diminta dilancarkan.

Rating mereka di Play Store Android juga menjunam, dari semakan pertama kami ialah 1.9, tidak sampai 24 jam kemudian menurun kepada 1.5 melalui lebih kurang 2000 komen dan kini pada komen yang ke-3000 rating Tuju menjunam lagi ke 1.2. Ini memalukan dan jika gagal diatasi segera, aplikasi Tuju ini hanya akan tinggal namanya sahaja selepas ini. 

Lebih teruk aplikasi Tuju di Android dan IOS Apple terlihat berbeza dan seperti dinyatakan oleh netizen dan beberapa buah portal yang telahpun mengujinya, seolah-olah ia dibangunkan oleh dua syarikat berbeza. Ini sungguh memalukan kerana Tuju mempertaruhkan nama LLM dan kerajaan.

Sepatutnya LLM dan pihak syarikat yang membinanya mengeluarkan ia sebagai aplikasi ujian atau ‘beta‘ terlebih dahulu untuk diuji sebelum dilancarkan secara meluas – maka rakyat akan faham jika wujud kesilapan. Ini kebiasaan dan amalan sebelum pelancaran satu-satu aplikasi bagi mengesan kelemahan di peringkat awal dan akan diperbaiki sehinggalah ia benar-benar sedia untuk digunakan. Kemudian barulah ia dilancarkan. Namun nampaknya langkah sepenting ini dilupakan oleh LLM dan pembina Tuju. 

Menambah buruk, Lim Guan Eng daripada blok kerajaan sendiri iaitu DAP, mengeluarkan kenyataan bahawa Tuju memalukan negara dan penasihat Perdana Menteri terlibat perlu dikenakan tindakan kerana memberi nasihat yang salah. Beliau juga meminta agar kos pembinaan aplikasi Tuju didedahkan. Young Syefura, juga daripada DAP turut mempertikaikan Tuju di Parlimen.

Kerajaan sepatutnya membuat pengumuman mengenai Waze, kemudiannya memaklumkan bahawa aplikasi Tuju sedang dibangunkan dan dalam peringkat ujian dalam kalangan penjawat awam secara bersasar, bukan semua 1.6 juta digalakkan pakai serentak. Maka sebarang maklum balas boleh diajukan kepada pihak LLM atau kepada pihak vendor yang diberi tanggungjawab membangunkannya. Secara berperingkat, galakkan pula rakyat menggunakannya setelah ia dilihat sesuai dan sedia untuk dilancarkan.

Jangan terus meminta rakyat berhenti menggunakan Waze dan diarah menggunakan Tuju jika ia masih belum sedia sepenuhnya, justeru tentu ia mengundang kecaman dan rakyat hilang kepercayaan. Namun apapun kita puji inisiatif kerajaan agar hentikan penggunaan Waze milik Israel. 

Serta jangan risau, kita ada aplikasi tempatan lain yang juga boleh tahan UI sert seperti aplikasi Pintaz. Paparan pengguna atau UI (User Interface) menarik dan Pengalaman Pengguna atau UX (User Experience) juga menyenangkan. Setidak-tidaknya tidaklah merepek sangat seperti Tuju. 

Menarik juga kerana melalui aplikasi ini ada boleh masukkan nama tempat atau perumahan anda sendiri secara terus sekiranya ia masih belum ada dalam peta mereka. Yang lain-lain itu anda boleh mencubanya sendiri. 

Atau gunakan sahaja Google Map, tetapi ingat, Google juga telah beli Waze pada 2013 jadi tepuk dada tanyalah selera, alternatif sentiasa ada.