MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN SIBER, TUMPU PEMBANGUNAN AI DAN KRIPTOLOGI TEMPATAN

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kerajaan memperkukuh komitmen dalam meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk kemunculan model AI generasi baharu yang membawa cabaran baharu kepada keselamatan digital negara.

Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang meneliti landskap ancaman siber semasa serta langkah strategik bagi memperkukuh daya tahan siber Malaysia.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah perkembangan model AI generasi baharu atau Frontier AI, termasuk Anthropic Mythos, yang disifatkan mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan siber serta keupayaan negara menghadapi ancaman digital yang semakin kompleks.

Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia perlu mempercepat usaha menguasai teknologi strategik dengan memberi penekanan kepada pembangunan teknologi tempatan yang dipacu oleh kepakaran anak tempatan.

Menurut beliau, pembangunan teknologi juga perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan nilai, budaya serta jati diri negara supaya kemajuan digital tidak mengabaikan identiti nasional.

Selain itu, mesyuarat turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh keupayaan kriptologi negara sebagai elemen penting dalam melindungi data, komunikasi strategik dan kedaulatan digital Malaysia, khususnya ketika dunia memasuki era kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum.

Turut dibincangkan ialah langkah memperkukuh perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII), meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman pasca-kuantum (Post-Quantum Cryptography – PQC), serta menangani ancaman baharu termasuk penyalahgunaan teknologi AI.

Perdana Menteri menegaskan bahawa keselamatan siber kini menjadi benteng utama kepada kedaulatan digital, kemajuan ekonomi serta daya saing negara. Keupayaan melindungi data, sistem dan infrastruktur kritikal akan menjadi antara faktor penting yang menentukan kekuatan Malaysia dalam mendepani cabaran teknologi masa hadapan.