AMERIKA DESAK NEGARA RAKAN PIILIH PAX SILICA ATAU WAICO DALAM PERANG TEKNOLOGI AI DENGAN CHINA

Amerika Syarikat (AS) dilaporkan memberi isyarat kepada negara-negara rakan bahawa mereka mungkin perlu membuat pilihan dalam persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI) antara Washington dan Beijing.

Menurut laporan Reuters, draf surat kerajaan AS kepada beberapa negara memberi amaran bahawa negara yang bekerjasama dengan ekosistem AI China berisiko menjejaskan hubungan rangka kerja teknologi yang diterajui Washington.

Perkembangan itu menunjukkan persaingan AS-China dalam teknologi AI kini memasuki fasa kepentingan strategik dan geopolitik, bukan lagi terhad kepada persaingan antara syarikat teknologi atau pembangunan model AI.

PAX SILICA JADI PLATFORM KERJASAMA AS

Washington kini menggunakan inisiatif Pax Silica sebagai antara platform utama untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara rakan dalam bidang berkaitan teknologi tinggi.

Inisiatif itu merangkumi usaha memperkukuh rantaian bekalan semikonduktor, AI dan mineral kritikal serta mengurangkan kebergantungan kepada China dalam sektor-sektor penting. Beberapa negara sudah menyertai rangka kerja berkenaan, termasuk Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Namun, pendekatan Washington itu berdepan realiti bahawa sebahagian negara masih mahu mengekalkan hubungan ekonomi dan teknologi dengan kedua-dua AS dan China. Kazakhstan, misalnya, disebut sebagai antara negara yang mempunyai hubungan dengan kedua-dua rangka kerja melibatkan US dan China

Perkembangan itu menunjukkan semakin sukar bagi negara tertentu untuk terus berada di tengah-tengah sekiranya persaingan teknologi antara dua kuasa besar itu semakin tajam.

CHINA BANGUNKAN RANGKAIAN SENDIRI

Pada masa sama, Beijing turut memperluaskan usaha membentuk rangkaian kerjasama AI yang tidak bergantung kepada sistem teknologi Barat. China menubuhkan World Artificial Intelligence Cooperation Organization, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pengaruhnya dalam bidang AI di peringkat antarabangsa.

Persaingan tersebut tidak hanya melibatkan pembangunan sistem AI tetapi ia turut meliputi pengeluaran cip, pusat data, bekalan tenaga, mineral kritikal, infrastruktur pengkomputeran, piawaian teknologi serta pasaran untuk produk dan perkhidmatan AI.

Dengan kata lain, negara yang menguasai rangkaian teknologi tersebut mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap perkembangan AI secara global.

NEGARA LAIN MULA BERDEPAN PILIHAN SUKAR

Perkembangan ini amat penting kepada negara-negara yang mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua Washington dan Beijing.

Contohnya, beberapa negara Asia mempunyai China sebagai rakan perdagangan utama, tetapi pada masa sama mempunyai hubungan keselamatan, pelaburan dan teknologi yang penting dengan AS.

Keadaan itu menjadikan pilihan teknologi kini terkait dengan dasar luar Amerika Syarikat yang tidak sepatutnya berlaku. Sekiranya Washington mula mengenakan syarat yang lebih ketat terhadap akses kepada teknologi dan kerjasama AI, negara lain perlu mengambil kira kesan jangka panjang kepada negara mereka sebelum memilih antara Pax Silica ataupun WAICO. 

Ini kerana pilihan yang dibuat hari ini boleh memberi kesan kepada akses teknologi, pelaburan dan rantaian bekalan pada masa akan datang.

PERSAINGAN AI SUDAH JADI ISU KESELAMATAN

Perubahan ini turut menunjukkan bagaimana teknologi AI semakin dilihat sebagai aset strategik oleh kuasa-kuasa besar. Keupayaan membangunkan dan menguasai AI mempunyai kaitan langsung dengan sektor ekonomi, pertahanan, keselamatan siber, risikan, industri serta pengurusan maklumat.

Atas sebab itu, usaha AS menyekat keupayaan China mendapatkan teknologi tertentu tidak boleh dilihat hanya sebagai persaingan perdagangan. Washington jelas mahu memastikan kelebihan teknologinya tidak digunakan untuk mengukuhkan kedudukan strategik China. Dalam erti kata lain mereka mahu mendominasinya. 

Beijing pula mempunyai kepentingan yang sama untuk memastikan negaranya tidak bergantung kepada teknologi Amerika bagi membangunkan industri AI sendiri.

ADAKAH DUNIA AKAN TERBAHAGI DUA ANTARA MEMILIH AS ATAUPUN CHINA?

Persoalan yang timbul ialah sama ada persaingan ini akhirnya akan menghasilkan dua kelompok teknologi yang berasingan? Satu berpusatkan AS dan sekutunya, manakala satu lagi dibangunkan China bersama negara-negara yang memilih untuk menggunakan teknologinya.

Sekiranya keadaan itu berlaku, negara-negara lain mungkin tidak lagi mempunyai kebebasan yang sama untuk memilih teknologi berdasarkan harga atau keupayaan semata-mata. Pilihan tersebut akhirnya akan memberi kesan terhadap hubungan luar, keselamatan dan ekonomi negara masing-masing. 

Bagi ASEAN, termasuk Malaysia, perkembangan ini wajar diberi perhatian kerana rantau ini mempunyai hubungan ekonomi yang besar dengan China, selain hubungan perdagangan, teknologi dan keselamatan yang kukuh dengan AS.

Malaysia dan negara ASEAN lain mungkin perlu memastikan kepentingan sendiri tidak diketepikan dalam persaingan antara dua kuasa besar itu. Persoalan akhirnya bukan lagi siapa yang mempunyai teknologi AI paling maju tetapi siapa yang menguasai teknologi, cip, data, infrastruktur dan rantaian bekalan yang diperlukan untuk menggunakan AI.

Sekiranya Washington benar-benar mula meminta negara rakan memilih antara mereka atau China, persaingan AI antara kedua-dua negara tersebut mungkin menjadi antara faktor yang paling penting dalam menentukan hubungan antarabangsa untuk beberapa tahun yang akan datang.