PARIS, 18 Jun – Amerika Syarikat (AS) dan Iran menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara, sekali gus membuka laluan kepada rundingan lanjut mengenai program nuklear Tehran dalam tempoh 60 hari akan datang.
Perjanjian yang ditandatangani Presiden AS, Donald Trump, dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian itu berkuat kuasa serta-merta dan dianggap sebagai langkah diplomatik paling penting sejak tercetusnya peperangan antara kedua-dua negara pada penghujung Februari lalu.
Antara kandungan utama memorandum itu ialah pembukaan semula Selat Hormuz kepada pelayaran antarabangsa tanpa sebarang caj bagi tempoh 60 hari, penamatan semua bentuk sekatan ekonomi AS terhadap Iran serta cadangan pelan pembinaan semula Iran bernilai AS$300 bilion.
Bagaimanapun, isu paling kritikal iaitu program nuklear Iran masih belum dimuktamadkan dan akan dirundingkan secara berasingan dalam tempoh yang dipersetujui, yang boleh dilanjutkan sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan.
Trump, yang menandatangani dokumen itu ketika menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Perancis, berkata perjanjian berkenaan mampu mengelakkan kemelesetan ekonomi global susulan gangguan bekalan tenaga akibat konflik tersebut.
Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan terhadap Iran akan diteruskan sekiranya rundingan akhir gagal mencapai persetujuan.
“Saya tidak mahu dunia berdepan malapetaka ekonomi. Namun jika tiada penyelesaian dicapai, pilihan ketenteraan masih ada,” katanya.
Memorandum itu turut menyatakan Iran mengulangi komitmennya untuk tidak memperoleh atau membangunkan senjata nuklear.
Selain itu, uranium yang telah diperkaya akan dicairkan (down-blended) di dalam negara di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), berbeza daripada tuntutan awal Washington yang mahu bahan berkenaan dipindahkan keluar dari Iran.
Sementara itu, Yang Dipertua Parlimen Iran yang juga ketua perunding negara itu, Mohammad Bagher Ghalibaf, menegaskan Tehran masih berhati-hati terhadap komitmen Washington.
Menurutnya, Iran masih bersedia mengambil tindakan balas sekiranya rundingan gagal menghasilkan penyelesaian yang memuaskan.
Beliau turut memberi bayangan bahawa Iran mungkin mengenakan semula caj kepada kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz selepas tempoh 60 hari yang diperuntukkan dalam memorandum itu berakhir.
Pengumuman perjanjian berkenaan memberi kesan positif kepada pasaran global apabila harga minyak mentah Brent susut kira-kira satu peratus dalam dagangan awal Asia, walaupun masih berada pada paras lebih tinggi berbanding sebelum konflik bermula.
Dalam perkembangan berkaitan, perjanjian itu turut menetapkan penamatan segera operasi ketenteraan di semua medan termasuk di Lubnan.
Bagaimanapun, perkembangan tersebut menimbulkan persoalan apabila Israel memaklumkan ia tidak bercadang menarik tenteranya dari Lubnan dan meneruskan serangan terhadap Hezbollah.
Trump turut menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, supaya mengurangkan intensiti operasi ketenteraan bagi memastikan proses damai yang sedang diusahakan tidak tergugat.
Sementara itu, perjanjian berkenaan menerima kritikan daripada ahli politik di Washington, termasuk dalam kalangan Parti Republikan sendiri.
Mereka mempersoalkan cadangan dana pembinaan semula Iran bernilai AS$300 bilion serta menyifatkan memorandum itu gagal menyelesaikan isu utama seperti program peluru berpandu Iran dan sokongan Tehran terhadap kumpulan proksi di Asia Barat.
Walaupun begitu, pentadbiran Trump menegaskan dana berkenaan bukan melibatkan wang pembayar cukai AS, sebaliknya bertujuan menggalakkan pelaburan antarabangsa dalam usaha membangunkan semula ekonomi Iran selepas konflik berakhir.







