Ratusan ribu rakyat Iran membanjiri jalan-jalan utama di Tehran bagi mengiringi perarakan pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu upacara yang menjadi simbol perpaduan kepimpinan republik Islam itu selepas konflik berdarah dengan Israel dan Amerika Syarikat.
Rakaman udara yang disiarkan media rasmi Iran menunjukkan lautan manusia memenuhi jalan utama ibu negara ketika keranda jenazah bersama empat ahli keluarganya dibawa menaiki sebuah kenderaan khas menuju lokasi pengebumian.
Suasana bertukar tegang apabila sekumpulan peserta perarakan membaling batu ke arah papan iklan yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan gambar peluru dihalakan ke arah kepalanya. Papan iklan itu turut memaparkan mesej, “Amerika membunuh bapa kami. Kami tidak akan melepaskan kamu.“
Sepanjang perarakan, ribuan peserta dilihat mengibarkan bendera Iran serta sepanduk merah yang menyeru pembalasan terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab membunuh Khamenei. Laungan menuntut pembalasan turut bergema di sepanjang laluan perarakan.
Upacara pengebumian itu dilihat sebagai peluang kepada kepimpinan Iran untuk menunjukkan bahawa negara itu masih kukuh dan mendapat sokongan rakyat selepas lebih lima minggu berperang dengan Israel dan Amerika Syarikat sebelum gencatan senjata dipersetujui.
Sehari sebelum perarakan, ribuan rakyat memenuhi Grand Mosalla di Tehran untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Khamenei dan empat ahli keluarganya yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 28 Februari lalu, yang menurut pihak Iran dilaksanakan berdasarkan risikan Amerika Syarikat. Pihak berkuasa turut mengambil langkah keselamatan ketat dengan memasang penghadang konkrit bagi mengelakkan insiden rempuhan seperti yang berlaku semasa pengebumian Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1989.
Tiga anak lelaki Khamenei hadir memberi penghormatan terakhir, namun ketiadaan Mojtaba Khamenei terus mencetuskan tanda tanya. Mojtaba, yang dinamakan sebagai pemimpin baharu selepas kematian bapanya, masih belum muncul di khalayak ramai. Pegawai Iran sebelum ini memaklumkan beliau turut cedera dalam serangan udara tersebut, namun tahap kecederaannya tidak didedahkan. Turut kelihatan pada upacara pengebumian itu ialah komander baharu Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Ahmad Vahidi, serta ketua Pasukan Quds, Esmail Qaani.
Perarakan di Tehran akan disusuli dengan upacara penghormatan di bandar suci Qom sebelum diteruskan ke Najaf dan Karbala. Jenazah Khamenei dijadual dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad.
Dalam kalangan rakyat Iran yang menyertai perarakan, sentimen menuntut pembalasan jelas kedengaran. Ramai yang menyifatkan pembunuhan Khamenei sebagai tindakan yang mesti dibalas, sambil menegaskan sokongan mereka terhadap revolusi Islam Iran serta kepimpinan negara itu. Delegasi daripada Hamas dan Hezbollah turut menghadiri upacara penghormatan sebagai tanda solidariti terhadap Iran.
Konflik di Timur Tengah kini berada dalam fasa gencatan senjata selepas persetujuan awal dicapai antara Tehran dan Washington. Namun, kedua-dua pihak masih memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh disambung semula sekiranya keadaan kembali memuncak, menjadikan sentimen pembalasan antara tema utama sepanjang upacara pengebumian Khamenei.






