BANGSA JOHOR PILIH BN DEMI KESTABILAN

Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat yang lebih kukuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding 40 kerusi sebelum ini, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya sebelum ini. Pakatan Harapan (PH) pula memenangi hanya 8 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dan lain-lain termasuk parti Bersama Rafizi gagal memperoleh sebarang kerusi.

Keputusan tersebut dilihat sebagai isyarat jelas bahawa majoriti pengundi Johor terus memberikan kepercayaan kepada pentadbiran BN untuk meneruskan agenda pembangunan dan mengekalkan kestabilan politik di negeri itu.

PRN Johor kali ini menyaksikan pertandingan sengit di kesemua 56 kerusi DUN, dengan proses pengundian berlangsung lancar di 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri sebelum ditutup pada jam 6 petang semalam.

Kemenangan BN turut memperkukuhkan kedudukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sekali gus memberi ruang untuk meneruskan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan yang sedang dirancang.

Sementara itu, kehadiran PH sebagai blok pembangkang berkurangan di Dewan Undangan Negeri Johor, manakala PN yang sebelum ini memiliki beberapa kerusi, kini kehilangan kesemua wakilnya dalam pilihan raya kali ini.

Dengan keputusan rasmi ini, landskap politik Johor kekal didominasi BN, sekali gus membuktikan sokongan terhadap Perdana Menteri  Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan semakin berkurangan. PRN Johor ini juga dilihat oleh beberapa penganalisis di mana senario ini bakal diterjemahkan oleh rakyat terhadap kerajaan pada PRU16 kelak – kerana mereka dilihat lebih banyak retorik berbanding melakukan pelaksanaan yang jelas dalam membantu kehidupan rakyat.