Pasukan Z.W.L Dragon Boat Team mencipta kegemilangan apabila menjuarai kategori campuran pada Kejohanan the 2nd Perak Cultural Dragon Boat Championship 2026 yang berlangsung di Silverlakes Village Outlet, di sini, semalam.
Pasukan Z.W.L Dragon Boat Team B mempamerkan dayungan bertenaga untuk mencatat masa terpantas 56.82 saat dalam perlumbaan akhir 200 meter, sekali gus menewaskan lapan pasukan lain. Agro Naga dan Penang Titans C masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa 57.03 saat dan 57.92 saat.
Kejayaan tersebut membolehkan Z.W.L Dragon Boat Team B membawa pulang piala kejuaraan, wang tunai RM1,500 serta pingat. Naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM800 dan RM500 berserta pingat.
Kejohanan anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak dan New Dawn Projects itu mempertandingkan tiga kategori utama iaitu campuran, senior dan terbuka bagi perlumbaan sejauh 200 meter, dengan penyertaan 23 pasukan dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Melaka.
Lebih membanggakan, kejayaan Z.W.L Dragon Boat Team mencerminkan semangat perpaduan apabila pasukan tersebut dianggotai atlet berbilang kaum, termasuk masyarakat Cina, Melayu, India dan peribumi Sarawak, yang berganding bahu mengharumkan nama pasukan melalui semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi.
Laporan disediakan oleh Ts. Dr. Mohd Hairul bin Haji Mohd Salleh





