PUTRA BANTAH PENGURANGAN KUOTA BUMIPUTERA DALAM LSS6, DESAK PETRA KAJI SEMULA

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) membantah pengurangan kuota khas Bumiputera dalam Program Solar Skala Besar 6 (LSS6), sambil menggesa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengkaji semula pelaksanaan program tersebut supaya lebih selaras dengan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.

Presiden PUTRA, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, walaupun kerajaan meningkatkan kapasiti keseluruhan LSS6 kepada 2,650 megawatt (MW), bahagian yang diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera didakwa berkurangan berbanding pusingan sebelumnya.

Menurut beliau, dalam LSS5 sebanyak 500 MW daripada keseluruhan kapasiti 2,000 MW diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera, manakala LSS6 hanya menyediakan 450 MW daripada keseluruhan 2,650 MW.

Beliau mendakwa keadaan itu menyaksikan kapasiti keseluruhan meningkat sebanyak 650 MW, namun kuota khas Bumiputera berkurangan sebanyak 50 MW.

Dalam LSS5, Bumiputera menerima kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan kapasiti, tetapi dalam LSS6 bahagiannya turun kepada sekitar 17 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Ibrahim, PUTRA menyokong usaha kerajaan mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu, namun berpandangan peningkatan kapasiti sepatutnya turut memberi ruang lebih besar kepada penyertaan syarikat Bumiputera.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap peluang syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana yang menurutnya semakin terhad apabila kategori projek bersaiz 1 hingga 10 MW yang diperkenalkan dalam LSS5 tidak lagi disediakan dalam LSS6.

Katanya, projek Bumiputera di bawah Pakej 2 pula melibatkan kapasiti antara 60 MW hingga 500 MW serta diwajibkan menggunakan Sistem Storan Tenaga Bateri (BESS), sekali gus memerlukan modal, pembiayaan dan keupayaan teknikal yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, PUTRA mencadangkan kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan kapasiti LSS6 atau sekitar 795 MW sebagai kuota khas Bumiputera.

Menurut beliau, sasaran itu memerlukan tambahan sebanyak 345 MW berbanding kuota sedia ada selain mengesyorkan projek bersaiz kecil dihidupkan semula serta diperkukuhkan dengan sokongan pembiayaan dan pemindahan teknologi.

Pada masa sama, Ibrahim berkata pendekatan berkenaan selaras dengan aspirasi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang memberi penekanan kepada penguasaan sektor pertumbuhan baharu dan ekonomi hijau oleh usahawan Bumiputera.

Pada 16 Julai lalu, PETRA mengumumkan pelaksanaan LSS6 yang menawarkan kapasiti keseluruhan 2,650 MW, termasuk 2,500 MW projek solar yang digabungkan dengan 1,250 MW Sistem Storan Tenaga Bateri (BESS) serta 150 MW projek solar tanpa BESS yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera. Program itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu dan meningkatkan keselamatan bekalan elektrik negara.