Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) serta enam helikopter MD530G.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu perlu bagi memastikan prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang sama turut diterapkan terhadap isu perolehan aset pertahanan negara.
Beliau berkata, keputusan kerajaan mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya terhenti pada penerbitan laporan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli tindakan berdasarkan penemuan dan bukti.
“PUTRA menyokong penuh pendedahan Laporan RCI Tabung Haji. Tetapi jangan berhenti pada laporan.”
“Ada salah, siasat. Ada bukti, dakwa. Ada wang diseleweng, tuntut balik. Ada penyangak terbukti bersalah, hukum,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk mendedahkan laporan RCI berkaitan Tabung Haji selepas Perdana Menteri menyatakan rakyat berhak mengetahui hasil siasatan tersebut. Anwar turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat kesalahan, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut proses undang-undang.
Ibrahim berkata, kerajaan juga perlu melihat semula isu LCS yang sebelum ini mendapat perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menurut rekod PAC, sebanyak RM6.083 bilion telah dibayar bagi projek LCS sehingga Oktober 2020, ketika tiada sebuah pun daripada enam kapal yang ditempah siap dibina, sedangkan mengikut jadual, dua kapal sepatutnya telah siap pada ketika itu.
“Siapa lulus? Siapa bayar? Siapa gagal mengawal? Siapa bertanggungjawab? Tubuhkan RCI dan jawab semuanya,” katanya.
Projek LCS bernilai lebih RM9 bilion itu melibatkan pembinaan enam kapal untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dan sebelum ini turut menjadi subjek siasatan PAC serta laporan berkaitan tadbir urus, perolehan dan kewangan.
Dalam pada itu, Ibrahim turut mahu isu perolehan enam helikopter MD530G tidak dilupakan walaupun kesemua aset berkenaan akhirnya diserahkan kepada Tentera Darat Malaysia.
Kontrak bernilai RM321 juta itu dianugerahkan Kementerian Pertahanan kepada Halaman Optima Sdn Bhd pada 2015. Kesemua enam helikopter berkenaan diserahkan selepas proses ujian penerimaan akhir pada 2022.
Menurut laporan ketika itu, penghantaran mengalami kelewatan, antaranya berkaitan rundingan lanjutan tempoh kontrak serta sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19 yang menjejaskan latihan anggota Tentera Darat di Amerika Syarikat.
Ibrahim berkata, penerimaan aset tersebut tidak seharusnya menutup persoalan mengenai bagaimana proses perolehan itu dilaksanakan dari awal hingga akhir.
“Sudah sampai bukan bermakna semua persoalan selesai. RCI perlu bongkar bagaimana perolehan itu diurus dari awal sampai akhir,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya tidak mengamalkan pendekatan berbeza dalam menangani isu berkaitan penggunaan atau pengurusan wang rakyat.
“Jangan RCI hanya berani membongkar kes tertentu. Wang rakyat tetap wang rakyat. Jangan pilih kes. Jangan pilih orang.”
“Siapa salah, siasat. Siapa terbukti bersalah, hukum,” katanya.
Ibrahim turut mengaitkan langkah penubuhan RCI Tabung Haji dengan kerajaan terdahulu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menurutnya telah membuka ruang untuk siasatan terhadap isu berkenaan.
“Kalau berani buka Tabung Haji, berani juga buka LCS dan MD530G. Jangan ada kes disentuh, ada kes disimpan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan pimpinan Anwar kini mempunyai peluang untuk membuktikan bahawa prinsip integriti, antirasuah dan tadbir urus yang ditekankan kerajaan diterapkan secara konsisten tanpa mengira siapa yang terlibat.
Pada masa sama, Ibrahim secara sinis berkata kerajaan tidak seharusnya takut sekiranya tindakan undang-undang akhirnya membawa kepada peningkatan jumlah penghuni penjara.
“Jangan takut penjara penuh. Takutlah kalau berbilion wang rakyat dipersoalkan tetapi akhirnya penyangak terlepas dan rakyat pula disuruh melupakan,” katanya.






