Kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, bahawa UMNO perlu ‘jujur’ dan mengakui kelemahan tadbir urus Tabung Haji boleh dibahaskan kerana beliau mungkin ‘seronok’ ber-podcast sehingga tertinggal fakta sebenar. Lebih malang mungkin Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ ini tidak membaca pun laporan RCI tersebut.
Beliau yang baru sahaja kembali ke UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa selepas dipecat daripada parti sepatutnya membaca dan menyemak fakta terlebih dahulu, jangan bersikap seperti hanya tahu membuat kotoran tetapi harap orang lain pula bersihkan.
Satu lagi, tiada siapa nafikan hak beliau untuk mengkritik namun persoalannya ialah mengapa kritikan itu perlu diarahkan kepada UMNO sedangkan laporan RCI sendiri tidak menamakan satupun pemimpin UMNO melakukan penyelewengan? Hanya salah tadbir urus yang melibatkan pegawai Tabung Haji dibangkitkan dalam laporan tersebut.
Juga timbul persoalan niat KJ memilih untuk kembali ke ‘Rumah Bangsa’ kerana jika matlamatnya membantu proses pemulihan UMNO, kritikan sepatutnya berpijak pada ketepatan fakta dan perlu cerdik membezakan antara kelemahan institusi dengan kesalahan rasuah.
Mungkin KJ boleh belajar dari DAP, bukannya bersikap seperti DAP
Susahlah kita mahu melihat ahli atau pemimpin DAP menyelar atau mempertikai parti sendiri secara terbuka apatah lagi menuduh sembarangan tanpa asas. Jika laporan RCI ini melibatkan parti DAP, sebaik mungkin mereka akan canang ke seluruh dunia bahawa mereka tidak bersalah kerana terbukti tiada seorang pun dinamakanpun dalam laporan tersebut.
Itulah logik atau prinsip yang digunakan oleh semua pihak tanpa mengira parti. Tetapi nampaknya tidak selari dengan logik atau prinsip KJ. Logik atau prinsip beliau mungkin “asalkan dapat kritik UMNO” beliau sudah berpuas hati. Persoalan lain, kenapa tidak mengecam pihak yang menuduh UMNO, jadilah seperti Dr. Akmal yang kerap mempertahan parti sendiri. Namun sebaliknya berlaku kepada KJ, kecam parti sendiri parti lain dibiarkan. Kenalah ada sikap sayangkan parti wahai KJ.
Satu lagi pelik juga kenapa kritikan KJ konsisten hanya kepada parti sendiri? Seolah-olah ada benda yang dipendamkan.
Fakta perlu mengatasi naratif
Inilah kelemahan kepada premis kritikan KJ. Jelas, laporan RCI mengenai TH tidak membangkitkan isu rasuah dan pemimpin UMNO. Baca sahajalah laporan itu wahai KJ jika mahu sangat kritik, tetapi tunjukkanlah di bahagian mana ada pemimpin UMNO terlibat. Jangan baling batu sembunyi tangan, kerana jika anda sangsi atau curiga tunjukkanlah di mana.
Jangan menambah apa yang tidak disebut dan jangan pula memadam apa yang memang disebut. Jika laporan RCI tidak menamakan pemimpin UMNO sebagai terlibat dalam penyelewengan, maka itulah jawapannya.
Apa yang KJ mahu?
Inilah isunya, apa yang sebenarnya KJ mahukan – kerana jelas terlihat beliau masih tidak berpuas hati dengan UMNO sejak kalah pemilihan Presiden beberapa tahun lepas. Atau beliau sentiasa rasa beliau lebih baik dari orang lain di dalam UMNO? Entahlah.
Tetapi KJ jangan lupa, jika ada niat besar mahu ‘jaga’ parti, anda perlu hadirkan dulu sifat jujur, sayang dan setia kepada parti. Tetapi maaflah, nampaknya ketiga-tiga perkara ini tiada dalam diri anda.






