RCI TABUNG HAJI: ANTARA KELEMAHAN TADBIR URUS DAN MOMOKAN RASUAH

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) wajar dibaca berdasarkan apa yang benar-benar dinyatakan dalam laporan tersebut, bukannya melalui tafsiran politik yang menyamakan kelemahan tadbir urus dengan salah laku atau rasuah pemimpin UMNO.

Ini kerana laporan RCI, sebagaimana dilaporkan, membangkitkan persoalan berkaitan pengurusan, kedudukan kewangan dan tadbir urus TH, namun tidak menamakan mana-mana pemimpin UMNO sebagai individu yang melakukan penyelewengan atau ‘menyakau’ dana TH seperti yang selalu dibangkitkan ahli politik Pakatan Harapan. 

Perkara itu sendiri ditegaskan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang mempersoalkan siapa pemimpin UMNO yang sebenarnya dikatakan terlibat selepas muncul dakwaan bahawa parti itu perlu mengakui wujudnya ‘kegagalan’ dalam pengurusan TH? Beliau dipetik berkata bahawa laporan RCI tidak menamakan mana-mana pemimpin UMNO terbabit dalam penyelewengan, sebaliknya menunjukkan kelemahan dalam aspek pengurusan dana.

JANGAN SAMAKAN KELEMAHAN TADBIR URUS SEBAGAI RASUAH, ‘SAKAU’

Persoalan utama yang perlu dijelaskan ialah perbezaan antara kelemahan tadbir urus dengan perlakuan jenayah atau rasuah oleh individu tertentu apatah lagi menuduhnya dilakukan oleh pemimpin UMNO. 

Melalui RCI, suruhanjaya itu boleh mengesan kelemahan dalam sistem, proses membuat keputusan, pengurusan kewangan atau struktur pengawasan namun dalam masa yang sama dapatan itu tidak membuktikan bahawa seseorang pemimpin politik itu melakukan rasuah.

Justeru, adalah tidak tepat untuk mengubah dapatan mengenai kelemahan pengurusan menjadi tuduhan kolektif bahawa UMNO atau pemimpin-pemimpinnya telah melakukan penyelewengan atau rasuah. Bukan sahaja tidak adil malah ia satu tuduhan jahat bagi memburuk-burukan UMNO dengan tujuan sengaja mewujudkan persepsi buruk melalui RCI. 

Angka kewangan dan persoalan perakaunan yang dibangkitkan RCI sememangnya perlu dijawab. Tetapi persoalan mengenai siapa yang melakukan kesalahan, apakah bentuk kesalahan itu dan sama ada ia memenuhi unsur jenayah adalah perkara yang berbeza dan mesti dibuktikan berdasarkan fakta.

IRONINYA, AZEEZ SENDIRI YANG MAHU RCI

Lebih penting, bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bukan mengelak daripada RCI. Sebaliknya, beliau sendiri pernah mendesak supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu TH secara menyeluruh, termasuk tempoh pentadbirannya dan tempoh selepas perubahan kerajaan.

Pada 2020, Azeez secara terbuka meminta supaya RCI menyiasat bukan sahaja zamannya, malah tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan. Beliau mahu persoalan mengenai TH dirungkai secara menyeluruh.

Malah, dalam perkembangan terbaru selepas laporan RCI didedahkan, Azeez sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk disiasat semula dan berkata beliau bersedia menunjukkan surat rasmi berkaitan pembersihan namanya daripada siasatan terdahulu.

Justeru, naratif bahawa bekas pemimpin UMNO sekadar cuba mempertahankan diri daripada pendedahan RCI juga perlu dilihat secara lebih adil. Jika benar terdapat kesalahan individu, siasatan dan tindakan undang-undang wajar diteruskan.

Tetapi jika RCI tidak menamakan seseorang sebagai pelaku salah laku, janganlah laporan itu dipolitikkan sehingga seluruh parti atau semua pemimpin UMNO dianggap bersalah secara kolektif.

Justeru desakan untuk UMNO jelaskan isu Tabung Haji ini sudahpun dijelaskan oleh RCI, melainkan mereka yang mendesak itu realitinya malas membaca laporan RCI tersebut.