PUTRA GESA LAPORAN PENUH RCI TABUNG HAJI DIDEDAHKAN, DESAK SIASATAN, PENDAKWAAN SEGERA

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menggesa kerajaan mendedahkan sepenuhnya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji yang disiapkan pada Julai 2022, selain menuntut tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam salah guna kuasa atau penyelewengan.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kerajaan tidak seharusnya terus menyimpan laporan berkenaan kerana ia merupakan dokumen rasmi yang dihasilkan susulan keputusan Kabinet dan melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Menurut beliau, alasan kerajaan sebelum ini yang tidak mendedahkan laporan berkenaan bagi mengelakkan pendeposit hilang keyakinan terhadap Tabung Haji tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menyembunyikan maklumat daripada masyarakat.

Keyakinan tidak boleh dibina dengan menyembunyikan kebenaran. Jika sesuatu fakta mampu menggugat keyakinan, persoalannya mengapa perkara itu tidak dijelaskan lebih awal kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ibrahim turut mempersoalkan mengapa laporan tersebut hanya dibangkitkan selepas lebih tiga tahun disiapkan, sambil meminta kerajaan menjelaskan sama ada perkembangan itu berkaitan dengan perubahan kedudukan Tabung Haji atau situasi politik semasa.

Beliau juga mendakwa laporan berkenaan tidak didedahkan ketika Pakatan Harapan (PH) dan UMNO bekerjasama dalam kerajaan, namun kini timbul usaha untuk membukanya ketika hubungan kedua-dua pihak dikatakan semakin renggang.

Selain itu, beliau mempersoalkan mengapa pemimpin UMNO sebelum ini tidak mendesak supaya laporan RCI tersebut didedahkan kepada umum. Menurut Ibrahim, wang simpanan Tabung Haji adalah milik umat Islam yang disimpan bagi tujuan menunaikan ibadah haji dan tidak sepatutnya dipengaruhi oleh kepentingan politik mana-mana pihak.

Sehubungan itu, PUTRA menggesa kerajaan mendedahkan keseluruhan kandungan laporan RCI tanpa sebarang pindaan atau pertimbangan politik, termasuk semua syor yang dikemukakan, status siasatan serta tindakan yang telah atau akan diambil terhadap individu yang dinamakan.

Beliau turut menuntut supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mempercepatkan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang mempunyai bukti mencukupi untuk didakwa, termasuk membangkitkan semula kes-kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), sekiranya terdapat asas undang-undang dan bukti baharu – termasuk kes yang melibatkan wang RM170 juta yang ditemui di sebuah “safe house” sebelum ini.