Prestasi memalukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam tiga pilihan raya negeri terakhir memperlihatkan satu pola yang sukar diketepikan — parti pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kurang mendapat kepercayaan rakyat.
Di Sabah, PKR bertanding di 10 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2025 tetapi hanya memenangi satu kerusi. Corak hampir sama berulang di Johor malah lebih teruk apabila PKR bertanding di 20 kerusi tetapi hanya berjaya mempertahankan satu kerusi, iaitu di Puteri Wangsa.
Keputusan di Negeri Sembilan pula memberikan gambaran yang sedikit berbeza iaitu daripada 16 kerusi yang ditandingi, keputusan tidak rasmi menunjukkan PKR memenangi tiga kerusi. Ini bermakna kadar kemenangan PKR di Negeri Sembilan ialah sekitar 18.75 peratus — lebih tinggi berbanding 10 peratus di Sabah dan hanya 5 peratus di Johor.
Sungguhpun begitu, peratusan di ketiga-tiga negeri tersebut secara puratanya hanyalah sekitar 10.87 peratus iaitu menang 5 daripada 46 kerusi. Ini amat memalukan kerana Presiden PKR ialah Perdana Menteri Malaysia serta seluruh jentera yang dikerahkannya tentu jauh lebih komprehensif daripada parti-parti lain terutamanya pembangkang.
Keputusan di PRN Negeri Sembilan itu penting kerana negeri ini merupakan antara negeri yang mempunyai sejarah politik lebih kukuh untuk PKR, malah DAP sendiri sebelum ini sering mendabik dada di sana.
Sehingga Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke digelar sebagai “Tok Undang Kelima” oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, yang memperlihatkan sikap sebenar Pakatan Harapan terhadap institusi adat. Di bawah Pakatan Harapan, institusi adat ini dilihat semakin diperolok dan dipersendakan secara terbuka menyebabkan krisis ini semakin memburuk. Peristiwa memalukan ini menjadi indikator bahawa betapa “besar”nya peranan Loke dan DAP di Negeri Sembilan.
Persoalannya, adakah momentum penolakan PKR, DAP dan PH ini berjaya dikekalkan sehingga ke Pilihanraya Umum kelak? Ini bergantung kepada bagaimanakah reaksi mereka selepas kekalahan memalukan ini.
Sama ada Pakatan Harapan dan Perdana Menteri akan mengekalkan keangkuhan, asyik menyalahkan pihak lain serta tetap memaki rakyat, atau cuba mengambil peluang memperbaikinya sebelum PRU-16. Kita tunggu sahaja adakah ada perubahannya…






