KENAPA NURUL IZZAH MEMILIH LEPAS JAWATAN?
Keputusan Nurul Izzah Anwar untuk melepaskan tugas sebagai Timbalan Presiden PKR, dilihat penganalisis bukan sekadar isu peletakan jawatan tetapi membuka persoalan yang jauh lebih besar – adakah PKR sedang berdepan dengan masalah terbesarnya sejak menjadi kerajaan?
Kompleksiti masalah ini dilihat jauh lebih rumit daripada senario Rafizi dan rakan-rakannya keluar PKR kerana Nurul Izzah bukan sahaja baru menang ke jawatan nombor dua parti tetapi beliau juga anak kepada Perdana Menteri – faktor yang menimbulkan pelbagai tanggapan negatif sebaik sahaja beliau mengumumkan pengundurannya.
Sungguhpun PKR cuba ‘merehatkan’ beliau secara sementara, kerosakan sudahpun berlaku, persepsi buruk semakin menebal dan kesangsian rakyat terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim semakin meningkat.
KEKALAHAN TERUK PKR DI 3 PRN
Dalam politik, sesuatu keputusan tidak dinilai hanya berdasarkan penjelasan semata-mata tetapi melalui konteks ketika keputusan itu dibuat dan inilah masa yang paling tidak sesuai kerana PKR baharu sahaja kalah teruk di tiga PRN terkini iaitu di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan dengan hanya berjaya menang 4 kerusi daripada 46 yang ditandingi.
Ini amat mengejutkan kerana sebuah parti pimpinan Perdana Menteri sendiri hanya berupaya memperoleh 8.7 peratus kerusi yang ditandingi – indikator keyakinan rakyat merosot teruk, lebih teruk sokongan penyokong-penyokongnya sendiri jatuh mendadak dan dilihat tidak lagi mahu mengundi PKR.
Walaupun prestasi keseluruhan dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang menjunamkan sokongan terhadap PKR terutamanya isu-isu yang melibatkan Melayu dan Islam namun angka 4 kerusi tersebut tetap menimbulkan persoalan terhadap kekuatan dan imej Perdana Menteri itu sendiri. Ia bukan lagi hanya mengenai populariti dan prestasi PKR, malah populariti dan prestasi Anwar Ibrahim sendiri dilihat semakin merosot. Dalam erti kata lain beliau sendiri tidak lagi dipercayai majoriti rakyat di tiga PRN kerana hanya memperoleh 4 daripada 46 kerusi.
Jumlah 4 kerusi ini bukan sahaja menunjukkan kegagalan, malah menggambarkan kerapuhan sokongan akar umbi terhadap parti. Tanpa langkah pemulihan drastik daripada Anwar, angka yang kecil ini menjadi amaran awal bahawa survival politik PKR kini berada pada tahap yang amat kritikal.
DOKUMEN ANALISIS DALAMAN PKR DIBOCORKAN
Tiba-tiba anakandanya Nurul Izzah pula meletakkan jawatan, walaupun cuba dikatakan sebagai bercuti rehat namun kemusnahan premis PKR sudahpun berlaku dengan nyata melalui tindakan drastik Nurul Izzah ini. Beliau dilihat sebagai ‘bom jangka’ PKR yang mengejutkan semua pihak hatta seteru politik Anwar dan PKR sendiri pelik melihat apa yang berlaku.
Lebih menarik, kebimbangan itu bukan tidak berasas dan bukan datang daripada pihak luar kerana satu dokumen analisis dalaman PKR yang bocor mendedahkan kebimbangan mereka mengenai kemerosotan sokongan parti di beberapa kawasan utama termasuklah kelak di kerusi Anwar sendiri di Tambun.
Kemudian senario kekalahan teruk PKR di tiga PRN menguatkan hujah bahawa benar PKR dalam masalah besar ketika ini. Ini bermaksud persoalan mengenai kemerosotan sokongan terhadap PKR bukan lagi semata-mata naratif politik lawan tetapi turut diakui melalui proses penilaian dalaman parti sendiri.
Nurul Izzah sendiri mengakui dokumen tersebut merupakan sebahagian daripada proses muhasabah dalaman parti dan menyeru agar kelemahan itu ditangani secara serius – maka adakah beliau keluar kerana tiada sesiapa di PKR termasuk ayahandanya sendiri serius menangani hal tersebut? Adakah amaran tersebut tidak diterjemah kepada tindakan pembetulan?
‘ECHO CHAMBER’ DI SEKELILING ANWAR
Dalam mana-mana organisasi politik, terdapat risiko bahawa kepimpinan tertinggi hanya menerima maklum balas yang mengesahkan keyakinan sedia ada tetapi bukan realiti yang berlaku. Keadaan yang sering digambarkan sebagai echo chamber ini boleh menyebabkan penilaian terhadap prestasi PKR menjadi terlalu optimistik berbanding realiti di lapangan.
Mungkin ini yang berlaku terhadap Anwar dan pimpinan tertinggi, orang di sekelilingnya hanya menyatakan “perkara yang baik-baik” sahaja kepada beliau dan menyorok perkara sebenar. Ataupun beliau menerima data tersebut tetapi memilih untuk tidak mahu menerimanya – kerana yakin rakyat masih menerima beliau sama seperti ketika reformasi dahulu.
Ini berbalik kepada premis asal kebocoran laporan analisis dalaman PKR, mungkinkah ia juga sengaja dibocorkan bagi memberi amaran kepada Anwar dan pucuk pimpinan PKR, apabila mereka dilihat tidak mengendahkan masalah parti maka sesuatu tindakan drastik dilakukan.
Jika laporan dalaman dan kerja lapangan menunjukkan kemerosotan sokongan, tetapi naratif awam terus menggambarkan keadaan sebagai terkawal, tiada sebarang pembetulan dilakukan, jurang antara persepsi dan realiti akan terus melebar. Lebih teruk, jurang ini akan terus melebar dengan sendiri tanpa perlu ada sebarang pemboleh ubah.
RISIKO PILIHAN RAYA UMUM KE-16
Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, cabarannya kini bukan lagi sekadar mentadbir kerajaan, tetapi membuktikan bahawa PKR masih mempunyai daya tarikan politik sebagai parti utama menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. Melihat kepada senario terkini, PKR bukan sahaja semakin kurang daya tarikan malah daya tahannya juga semakin merosot.
Lebih dua dekad selepas penubuhannya, PKR masih dikaitkan secara langsung dengan kepimpinan Anwar. Kekuatan itu sebelum ini menjadi aset terbesar parti, namun kini tidak lagi. Rakyat tidak lagi sentimental dengan reformasi apatah lagi melibatkan Gen-Z dan Gen-Alpha yang kini boleh menjadi penentu kepada sesebuah pilihan raya.
Selain itu, persoalan juga timbul mengenai proses pembaharuan dan pelan penggantian pucuk pimpinan. Keputusan Nurul Izzah untuk ‘berehat’ daripada tugas nombor dua parti secara tidak langsung menghidupkan semula persoalan tersebut.
Di lapangan pula, terdapat semakin banyak analisis politik yang melihat beberapa kerusi tradisi PKR dan kerusi yang dimenangi pimpinan tertinggi parti tidak lagi boleh dianggap selamat. Antara yang sering diperkatakan ialah Tambun, kerusi yang dikenalpasti sebagai berisiko untuk Anwar.
Walaupun PKR boleh menyanggah dapatan analisis ini sebagai penilaian politik semata-mata tetapi data ini ialah dapatan daripada analisis dalaman mereka sendiri, bukan analisis oleh musuh politik mereka yang sedang bermain perang saraf.
PELUANG ANWAR DI PENGGAL KEDUA
Hakikatnya, tiada siapa boleh memastikan sama ada Anwar akan memperoleh mandat untuk penggal kedua sebagai Perdana Menteri dan Anwar tidak perlu merisikokan dirinya dengan mengabaikan data dan fakta yang ada di sekelilingnya.
Trend politik semasa menunjukkan laluan tersebut tidak lagi semudah ketika PKR membentuk kerajaan dahulu. Prestasi pilihan raya negeri, penilaian dalaman parti, isu kos sara hidup, persepsi terhadap pentadbiran serta kemampuan mengekalkan sokongan pengundi akan menjadi faktor utama yang menentukan masa depan Anwar Ibrahim.
Dalam politik moden, kejayaan sebelum ini tidak lagi menjamin kemenangan pada masa hadapan apatah lagi rakyat dilihat semakin tidak sabar untuk menukar Perdana Menteri. Pasukan PMO Anwar dan PKR perlu menilai di setiap media massa sama ada Facebook, Instagram, TikTok ataupun Threads dan X, majoriti komen mengecam beliau dan PKR termasuklah Pakatan Harapan.
Sekiranya Anwar dan PKR gagal menilai secara jujur isyarat yang diberikan oleh pengundi dalam beberapa pilihan raya negeri kebelakangan ini, parti itu berisiko memasuki pilihan raya umum akan datang dengan keyakinan yang tidak selari dengan realiti di lapangan.
Walaupun pengunduran sementara Nurul Izzah mungkin bukan punca kepada cabaran tersebut tetapi ia menjadi indikator bahawa PKR kini sedang berhadapan dengan persoalan yang lebih besar daripada sekadar perubahan kepimpinan – iaitu sama ada parti itu masih relevan, sekali gus bagaimana menangani krisis defisit keyakinan rakyat terhadap mereka.
Lebih penting, bagaimana Anwar dan PKR mahu meyakinkan pengundi bahawa beliau masih lagi pilihan terbaik sebagai Perdana Menteri bagi penggal seterusnya?
Inilah cabaran sebenar Anwar dan PKR. Tindakan Nurul Izzah hanya indikator awal bahawa keyakinan rakyat ini semakin terhakis.






