RAYUAN DITOLAK, GUAN ENG, ISTERI BERDEPAN PERBICARAAN KES RASUAH PROJEK RM11.6 JUTA

PUTRAJAYA, 24 Jun — Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew, serta ahli perniagaan Phang Li Koon akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek penempatan pekerja asing bernilai RM11.6 juta.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.

Terdahulu, pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang turut menolak permohonan sama selepas memutuskan bahawa prinsip autrefois acquit atau larangan dibicarakan dua kali bagi kesalahan yang sama tidak terpakai dalam kes berkenaan. 

Pada Mei 2023, ketiga-tiga mereka memohon agar pertuduhan digugurkan dengan alasan pihak pendakwaan menggunakan bukti daripada kes pembelian banglo di Jalan Pinhorn yang menyaksikan Lim dilepas dan dibebaskan pada tahun 2018. Bagaimanapun, mahkamah berpendapat hujahan tersebut tidak memenuhi syarat undang-undang untuk membatalkan pertuduhan semasa. 

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi memperoleh suapan berjumlah RM372,009 untuk manfaat isterinya melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd dianugerahkan projek Cadangan Penempatan Pekerja di Juru dan Batu Kawan, Pulau Pinang, bernilai RM11.61 juta, yang mana Betty Chew didakwa mempunyai kepentingan tidak langsung. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Ogos 2013 hingga Mac 2016.

Pertuduhan terhadap Lim dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Phang Li Koon pula didakwa bersubahat dengan Lim dalam pelaksanaan kesalahan tersebut dan turut akan dibicarakan bersama dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.