KENYATAAN RASMI YM DATO’-DATO’ LEMBAGA ADAT SUNGEI UJONG ​- PELANTIKAN MUHAMMAD FARIS BIN JOHARI SEBAGAI UNDANG LUAK SUNGEI UJONG KE-11 TIDAK SAH

KENYATAAN RASMI

YM DATO’-DATO’ LEMBAGA ADAT SUNGEI UJONG

PELANTIKAN MUHAMMAD FARIS BIN JOHARI SEBAGAI UNDANG LUAK SUNGEI UJONG KE-11 ADALAH TIDAK SAH DAN SALAH DALAM ATURAN ADAT SUNGEI UJONG

​Adalah kami, merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman bin Abdul Malek bertarikh 5 Mei 2026. Untuk makluman, penama Shaharumzaman bin Abdul Malek ini telah dipecat pada 20 Mac 2026, surat pemecatan telah diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bertarikh 30 Mac 2026. Jadi, penama ini tiada lagi sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di dalam Luak Sungei Ujong, sekaligus tiada kuasa dalam melantik Undang Luak Sungei Ujong.

​Dalam kenyataan media tersebut, ada menyebut nama Zainol Ariffin bin Ibrahim sebagai YM Dato’ Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat yang mengesahkan pelantikan tersebut. Sekali lagi dimaklumkan, penama ini juga telah dipecat pada 28 November 2024, surat pengesahan pemecatan juga telah dikeluarkan oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bertarikh 2 Disember 2024.

Ditegaskan sekali lagi, penama ini dengan jelas tiada lagi kelayakan dalam menentukan aturan adat di dalam Luak Sungei Ujong, apatah lagi dalam menentukan lantikan Undang Luak Sungei Ujong.

​Dalam kenyataan media tersebut, dikeluarkan oleh Majlis Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong. Sekali lagi dimaklumkan pengesahan penubuhan Majlis Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong itu tiada kaitan dengan Balai Undang Luak Sungei Ujong dan penubuhannya di luar pengetahuan YTM Undang Luak Sungei Ujong dan merujuk kepada surat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bertarikh 22 April 2025, penubuhan ini tidak sah dan tiada sebarang pengesahan dari Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Untuk makluman, YM Dato’ Andulika Mandulika Sungei Ujong yang sah di dalam Luak Sungei Ujong adalah YM Sazali bin Mohamed Yasin yang dilantik pada 1 April 2025. Surat pengesahan lantikan juga telah dikeluarkan oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bertarikh 11 April 2025.

​Jadi, di sini kami tegaskan pelantikan Muhammad Faris bin Johari ini tidak sah dan salah dalam aturan adat Sungei Ujong. Pelantikan Undang Luak Sungei Ujong perlu kepada persetujuan sebulat suara semua ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan ibu-ibu soko waris Klana Hilir, dan persetujuan sebulat suara kesemua Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong dan pengisytiharan mestilah dibuat oleh YAM Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Dalam isu pelantikan Muhammad Faris bin Johari ini tiada langsung persetujuan sebulat suara dari ibu-ibu soko waris Klana Hulu, waris Klana Hilir dan tiada langsung persetujuan dari Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah di dalam Luak Sungei Ujong.

​Kami juga merujuk keputusan sidang mesyuarat khas DKU bertarikh 5 Jun 2026, menyatakan bahawa kedudukan YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Thahak adalah masih sah sebagai YTM Undang Luak Sungei Ujong.

​Kami menegaskan sekali lagi, adalah dengan ini kami Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah melafazkan taat setia sepenuhnya kepada YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Thahak, sebagai YTM Undang Luak Sungei Ujong yang sah sehingga kini.

​Jadi, selepas sidang 24 Jun 2026 ini dan sebelumnya sebarang lantikan jawatan yang tidak melalui Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong adalah tidak sah mengikut adat purbakala Sungei Ujong.

​Kami menasihatkan kepada semua agar urusan Luak Sungei Ujong dirujuk terus kepada Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah agar tiada kekeliruan yang berlaku. Penama-penama yang telah dipecat tiada lagi sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di Luak Sungei Ujong.

​Sekian.

Barisan YM Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong Negeri Sembilan.
Termaktub pada 24 Jun 2026.