SEREMBAN, 25 Jun – Barisan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong menegaskan bahawa pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 adalah tidak sah dan bertentangan dengan aturan adat yang berkuat kuasa di Luak Sungei Ujong.
Dalam kenyataan rasmi bertarikh 24 Jun 2026, mereka mendakwa individu yang mengumumkan pelantikan tersebut, Shaharumzaman Abdul Malek, telah dipecat daripada jawatannya pada 20 Mac 2026 dan tidak lagi mempunyai kuasa untuk menentukan hal ehwal adat atau melantik Undang Luak Sungei Ujong. Mereka turut mendakwa seorang lagi individu yang dikaitkan dengan pengesahan pelantikan itu, Zainol Ariffin Ibrahim, juga telah dipecat pada 28 November 2024.
Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang mengeluarkan kenyataan terdahulu juga didakwa tidak mempunyai pengiktirafan daripada Balai Undang Luak Sungei Ujong mahupun Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, sekali gus menjadikan penubuhannya tidak sah.
Barisan Dato’-Dato’ Lembaga Adat menjelaskan bahawa pelantikan Undang Luak Sungei Ujong hanya boleh dibuat selepas memperoleh persetujuan sebulat suara daripada Ibu-ibu Soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir, persetujuan semua Dato’-Dato’ Lembaga Adat yang sah serta diisytiharkan oleh Dato’ Shahbandar Sungei Ujong. Mereka mendakwa syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi dalam pelantikan Muhammad Faris.
Kenyataan itu turut merujuk kepada keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) pada 5 Jun 2026 yang menyatakan kedudukan Dato’ Klana Petra Mubarak Thahak masih sah sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Sehubungan itu, barisan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong menegaskan taat setia mereka kepada Dato’ Klana Petra Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang sah sehingga kini. Mereka turut menegaskan bahawa sebarang pelantikan yang tidak melalui Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah adalah tidak mengikut aturan adat purbakala Sungei Ujong.
Pada masa sama, mereka menasihatkan semua pihak supaya merujuk sebarang urusan berkaitan Luak Sungei Ujong kepada Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah bagi mengelakkan kekeliruan serta menegaskan bahawa individu-individu yang telah dipecat tidak lagi mempunyai sebarang kelayakan untuk menentukan aturan adat di Luak Sungei Ujong.
Nota Editor: Laporan ini berdasarkan kenyataan rasmi Barisan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong bertarikh 24 Jun 2026. Dakwaan yang dikemukakan dalam kenyataan tersebut belum diperoleh maklum balas daripada pihak-pihak yang dinamakan setakat laporan ini diterbitkan.






