ANALISIS PRN JOHOR | DILEMA KERAJAAN PERPADUAN – BERSAMA DI PUTRAJAYA, BERTEMBUNG DI JOHOR

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar pertandingan merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia telah berkembang menjadi ujian paling besar terhadap ‘kematangan’ politik Kerajaan Perpaduan sejak pembentukannya pasca PRU15. Iaitu selepas Perikatan Nasional menolak cadangan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah, yang ketika itu menitahkan pembentukan kerajaan dengan segera. 

Ironinya cukup ketara. Di Putrajaya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi meja Kabinet, mempertahankan dasar kerajaan, meluluskan belanjawan dan bersama-sama mengurus pentadbiran negara. Namun apabila tiba di Johor, kedua-dua gabungan memilih untuk bertanding sebagai lawan politik, masing-masing meletakkan calon di semua kerusi tanpa sebarang kerjasama pilihan raya. Keputusan BN Johor untuk bertanding secara solo telah diumumkan lebih awal, manakala PH turut mengemukakan calon di kesemua kerusi.

Persoalan terbesar ialah:
Bagaimanakah dua parti boleh menjadi rakan pentadbiran di peringkat Persekutuan tetapi musuh politik di negeri Johor? Jawapannya jauh lebih kompleks daripada sekadar strategi pilihan raya.

Johor: Negeri Yang Tidak Mengikut Formula Nasional

Sejak sekian lama, Johor mempunyai budaya politik yang berbeza daripada negeri-negeri lain. BN melihat Johor sebagai kubu tradisinya dan simbol kekuatan UMNO. Sebarang kompromi pembahagian kerusi dengan PH berpotensi ditafsir sebagai pengakuan bahawa BN tidak lagi mampu berdiri sendiri di negeri yang selama puluhan tahun menjadi nadi perjuangannya.

Di pihak PH pula, mereka tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan identiti sendiri. Sekiranya PH tidak bertanding, penyokongnya akan melihat parti itu sekadar menjadi ‘penumpang’ kepada BN, sekali gus melemahkan moral jentera menjelang PRU16.

Maka lahirlah situasi yang luar biasa:

Kerajaan berkongsi kuasa di Putrajaya, tetapi bersaing untuk menjatuhkan antara satu sama lain di Johor.

Tiada Krisis Kerajaan, Tetapi Wujud Krisis Persepsi

Secara teknikal, pertandingan BN-PH di Johor tidak menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Tiada perjanjian rasmi yang mewajibkan kedua-dua gabungan bekerjasama dalam semua pilihan raya negeri. Malah kepimpinan UMNO menegaskan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan kekal sehingga tamat penggal walaupun hala tuju PRN ditentukan mengikut keperluan negeri.

Namun dari sudut psikologi politik, keadaannya jauh lebih rumit. Rakyat melihat pemimpin yang duduk semeja dalam Mesyuarat Kabinet pada hari Isnin, kemudian berkempen menyerang antara satu sama lain pada hari Selasa.

Naratif seperti ini mudah dimanipulasi lawan politik. Bagi pengundi atas pagar, persoalannya mudah:

Jika mereka benar-benar serasi mentadbir negara, mengapa mereka tidak boleh bekerjasama di Johor?

Inilah cabaran komunikasi politik terbesar yang sedang dihadapi Kerajaan Perpaduan.

Johor Menjadi “Makmal Politik” Menuju PRU16

Hakikatnya, PRN Johor jauh lebih besar daripada sebuah pilihan raya negeri. Ia sedang menjadi medan untuk mengukur kekuatan sebenar setiap parti tanpa perlindungan formula Kerajaan Perpaduan.

BN mahu mengetahui sejauh mana jenama tradisionalnya masih mempunyai nilai. PH pula mahu menguji sama ada sokongan terhadap kerajaan diterjemahkan kepada undi.

PN pula hanya perlu memerhatikan bagaimana pertandingan sesama rakan kerajaan boleh memecahkan undi lawan.

Dalam erti kata lain, Johor sedang menjadi simulasi awal kepada kemungkinan landskap PRU16. Penganalisis turut melihat PRN Johor sebagai petunjuk penting terhadap kestabilan dan masa depan kerjasama dalam kerajaan persekutuan. 

Istana Mahukan Kestabilan, Bukan Polemik

Johor mempunyai budaya institusi yang sangat berbeza berbanding negeri lain. Pelabur memilih Johor kerana kestabilan pentadbiran, dasar yang konsisten serta kepimpinan negeri yang jelas.

Justeru, sebarang kempen yang terlalu agresif sehingga mencetuskan ketidaktentuan politik berisiko menjejaskan imej Johor sebagai destinasi pelaburan utama negara.

Tidak menghairankan apabila Tengku Mahkota Johor sendiri bertegas mengenai situasi yang sebenarnya berlaku di sana. Kemudiannya Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya institusi diraja tidak dijadikan bahan kempen politik sepanjang PRN. 

Mesejnya jelas. Pertandingan politik dibenarkan. Tetapi kestabilan institusi tidak boleh dikorbankan.

Pasca PRN: Bertembung Hari Ini, Berjabat Tangan Keesokkan Hari?

Ironi terbesar mungkin muncul selepas keputusan diumumkan. Walau siapapun menang, pemimpin BN dan PH akan kembali duduk semeja dalam Kabinet Persekutuan.

Malah, mereka perlu meluluskan dasar yang sama, mempertahankan keputusan kerajaan yang sama dan berkongsi tanggungjawab terhadap pentadbiran negara. Inilah keunikkan politik Malaysia pasca-PRU15.

Persaingan pilihan raya semakin bersifat tempatan, manakala tadbir urus negara memerlukan kerjasama rentas parti.

Persoalannya bukan lagi sama ada model ini boleh bertahan. Persoalan sebenar ialah sejauh mana rakyat bersedia menerima hakikat bahawa dalam politik moden Malaysia, musuh pilihan raya tidak semestinya musuh pentadbiran.

PRN Johor bakal menentukan bukan sahaja siapa yang mentadbir negeri itu, malah sejauh mana formula Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kredibiliti apabila realiti politik negeri dan Persekutuan bergerak pada landasan yang berbeza.

Jika percanggahan ini dapat diurus dengan matang, ia mungkin menjadi model baharu politik gabungan Malaysia. Jika gagal, Johor akan dikenang sebagai negeri yang mendedahkan had sebenar formula tersebut.