Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan terus diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala BERSATU disifatkan berpotensi memainkan peranan sebagai blok pembangkang yang kuat.
Presiden PUTRA, Dato’ Dr. Ibrahim Ali berkata, partinya tidak bertanding dalam PRN Johor kali ini sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini, namun memberi sokongan terbuka kepada 16 calon BERSATU yang bertanding atas dasar kerjasama strategik dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR).
Menurut beliau, sokongan politik tidak semestinya diukur melalui kekuatan jentera atau kempen, sebaliknya turut dinilai melalui ketegasan pendirian dan kesetiaan terhadap rakan politik. Dalam masa sama, beliau berpandangan Johor mempunyai landskap politik yang unik dan tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan angka atau sentimen semasa.
Katanya, UMNO mempunyai hubungan sejarah yang amat kuat dengan rakyat Johor sejak sebelum merdeka, sekali gus menjadikan BN berada pada kedudukan terbaik untuk mengekalkan pentadbiran negeri. Beliau turut berpendapat DAP dijangka terus mempertahankan sebahagian besar kerusi tradisinya, khususnya di kawasan bandar yang mempunyai sokongan kukuh daripada pengundi bukan Melayu.
Mengulas arahan PAS supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN), Ibrahim berpendapat tindakan itu lebih bersifat strategi politik dan tidak semestinya menjadi faktor penentu kemenangan BN.
Beliau berkata keputusan sebenar kekuatan PAS di Johor akan dapat dinilai menerusi prestasi parti itu di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya. Beliau juga menegaskan kemenangan BN tidak bermaksud Johor tidak memerlukan pembangkang yang berkesan.
Sebaliknya, katanya, kehadiran pembangkang yang kuat amat penting bagi memastikan wujud mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di 16 kerusi yang ditandingi BERSATU supaya memberikan sokongan kepada calon parti berkenaan bagi membentuk blok pembangkang yang mampu membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri.
Ibrahim turut menyatakan penghargaan terhadap keputusan BERSATU meneruskan pertandingan walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai usaha mempertahankan maruah parti.
Menyentuh tindakan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi meninggalkan UMNO, beliau berpandangan perkembangan tersebut tidak akan memberi impak besar terhadap kekuatan UMNO di Johor kerana parti itu mempunyai akar umbi yang kukuh di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Institusi Diraja Johor terus memainkan peranan penting dalam memastikan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara tanpa mengira parti yang mentadbir negeri.
Menurutnya, PUTRA menghormati sebarang keputusan yang bakal dibuat rakyat dalam PRN Johor, namun pada masa sama berharap BERSATU dapat membentuk pembangkang yang kuat demi memperkukuh sistem semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.






