Pertubuhan Negarawati Tanahair menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan dapatan Kajian Kebolehlaksanaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengenal pasti kelemahan utama institusi itu berpunca daripada aspek tatakelola, pentadbiran dan pengurusan dalaman, bukannya kekurangan kuasa undang-undang.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, pertubuhan itu berkata dapatan kajian tersebut mengukuhkan pendirian mereka bahawa penyelesaian kepada pelbagai isu pembangunan bandar perlu bermula dengan memperkukuhkan integriti, ketelusan, akauntabiliti serta pematuhan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.
Menurut Negarawati Tanahair, sebarang reformasi DBKL perlu diterjemahkan kepada dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan tidak menimbulkan kebimbangan terhadap hak pemilikan harta.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menyatakan sokongan terhadap memorandum yang dikemukakan Koalisi Masyarakat Marhaen Kuala Lumpur kepada DBKL pada 29 Jun lalu, yang mengandungi sembilan tuntutan utama bagi menambah baik pengurusan pembangunan bandar.
Antara cadangan yang diketengahkan ialah supaya semua kawasan flat swasta dikecualikan daripada cadangan perobohan dan diberi keutamaan kepada program penjanaan semula bandar tanpa menjejaskan hak pemilik.
Selain itu, kerajaan turut digesa menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih bangunan serta menaik taraf kemudahan asas tanpa mensyaratkan pembangunan semula oleh pemaju swasta.
Memorandum tersebut juga menggesa kawasan lapang dan zon hijau komuniti diwartakan, penilaian semula terhadap kelulusan pembangunan baharu dibuat berdasarkan keperluan sebenar pasaran, serta jaminan bahawa sebarang pembangunan semula mematuhi kehendak Akta Hakmilik Strata 1985 dan hak pemilik.
Cadangan lain termasuk mempercepatkan penyelesaian aduan penduduk, memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang, meningkatkan ketelusan pengurusan tanah awam melalui portal maklumat, serta melaksanakan audit bebas terhadap projek pembangunan semula yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Dalam kenyataan sama, Negarawati Tanahair turut mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Bebas Ombudsman DBKL yang dianggotai wakil penduduk, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan agensi berkaitan.
Menurut pertubuhan itu, suruhanjaya berkenaan berperanan memantau tadbir urus DBKL, menilai cadangan pembangunan semula bandar serta memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, mematuhi undang-undang dan melalui proses libat urus awam yang bermakna.
Negarawati Tanahair turut mengingatkan bahawa hak pemilikan harta dilindungi di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, justeru semua dasar pembangunan bandar perlu dilaksanakan secara adil, telus dan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pertubuhan itu menegaskan bahawa dapatan kajian UIAM memberikan mesej jelas bahawa keutamaan kerajaan ketika ini ialah memperkukuhkan kecekapan, profesionalisme dan akauntabiliti DBKL sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan struktur atau mekanisme baharu yang berpotensi memberi implikasi besar kepada rakyat.
Mengakhiri kenyataan itu, Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair, Hajah Bibi Sunita S. Khan menegaskan bahawa reformasi sebenar bukan sekadar melibatkan pembangunan fizikal, sebaliknya membina semula keyakinan rakyat terhadap tadbir urus kerajaan.






