KENYATAAN RASMI NEGARAWATI TANAHAIR – “JANGAN GANGGU TIANG SERI NEGARA”

KENYATAAN RASMI NEGARAWATI TANAHAIR

“JANGAN GANGGU TIANG SERI NEGARA”

24 Jun 2026

Negarawati Tanahair memandang serius pelbagai isu dan dasar yang telah timbul sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan sejak November 2022, khususnya yang sering dikaitkan dengan pendirian dan tuntutan politik DAP.

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang memberi ruang kepada perbezaan pandangan politik, terdapat beberapa perkara asas yang tidak boleh dipertikaikan atau dikompromi kerana ia merupakan tunjang kepada pembentukan negara bangsa Malaysia.

Negarawati Tanahair ingin menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Institusi Raja-Raja Melayu, hak-hak Bumiputera yang diperuntukkan oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial yang menjadi asas kemerdekaan negara bukanlah perkara yang boleh dirunding semula mengikut kehendak mana-mana parti politik.

Rakyat melihat satu demi satu isu yang menimbulkan keresahan masyarakat majoriti negara. Bermula dengan tuntutan pengiktirafan UEC ke IPTA, perbahasan berkaitan ICERD dan Statut Rom, kontroversi Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), isu peruntukan kepada sekolah vernakular dan rumah ibadat tertentu, kontroversi Bak Kut Teh sebagai warisan kebangsaan, isu papan tanda serta identiti kebangsaan, sehinggalah kepada pelbagai polemik yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya tempatan.

Apa yang membimbangkan bukanlah perbezaan pandangan semata-mata, tetapi kewujudan satu corak pemikiran yang dilihat semakin cenderung untuk mencabar asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui oleh para pengasas negara.

Negarawati Tanahair ingin mengingatkan bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang lahir atas konsep asimilasi mutlak atau liberalisme tanpa sempadan. Malaysia dibina atas semangat muafakat, toleransi dan penghormatan terhadap realiti sejarah negara ini.

Mana-mana pihak yang ingin menjadi sebahagian daripada kerajaan wajib menghormati Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh, bukannya hanya menerima bahagian yang menguntungkan mereka dan menolak bahagian yang tidak selari dengan ideologi politik mereka.

Kami menolak sebarang usaha yang boleh:

• Menghakis kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan;

• Melemahkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan;

• Mengganggu hak-hak Bumiputera yang dijamin Perlembagaan;

• Mengubah identiti nasional yang telah dipersetujui sejak merdeka;

• Menjadikan bandar-bandar utama sebagai medan pengusiran senyap terhadap komuniti asal melalui dasar pembangunan yang tidak seimbang;

• Membawa masuk fahaman liberalisme dan pluralisme yang bercanggah dengan acuan kenegaraan Malaysia.

• Menyanggah dan Mempersoalkan atau tidak sehaluan dengan titah serta pandangan Institusi Raja-Raja Melayu dalam perkara berkaitan Islam, Melayu dan Perlembagaan negara serta manafaat rakyat jelata.

Negarawati Tanahair menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang dasar atau tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara dalam jangka panjang.

Kami juga menggesa Kerajaan Persekutuan supaya lebih tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara dan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang cuba mengubah asas pembentukan negara ini.

Perpaduan nasional tidak akan lahir melalui paksaan ideologi, tetapi melalui penghormatan terhadap sejarah, Perlembagaan dan identiti negara.

Malaysia tidak memerlukan eksperimen politik yang mempertaruhkan masa depan agama, bangsa dan negara.

Pertahankan Perlembagaan.
Pertahankan Islam.
Pertahankan Bahasa Melayu.
Pertahankan Kedaulatan Negara.

“NEGARA BERDIRI TEGUH APABILA TIANG SERINYA TIDAK DIGANGGU.”

HAJAH BIBI SUNITA S.KHAN
Pengerusi
NEGARAWATI TANAHAIR