TIDAK BERTANDING PRN JOHOR, PUTRA ELAK PERTEMBUNGAN KERUSI

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengesahkan tidak akan meletakkan calon bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas usaha parti itu untuk menjalin kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama Perikatan Nasional (PN) tidak menerima sebarang maklum balas.

Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Biro Politik PUTRA yang bersidang pada Rabu, menurut kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

Menurut beliau, PUTRA sebelum ini telah menghubungi Pengerusi Perikatan Nasional serta mengutus surat bagi menyatakan persetujuan untuk mengadakan kerjasama pilihan raya, termasuk mencadangkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor untuk ditandingi parti itu.

Bagaimanapun sehingga 24 Jun 2026, Perikatan Nasional tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap hasrat PUTRA untuk mengadakan electoral pact tersebut,” katanya.

Nasrul berkata, parti itu berasa dukacita dengan layanan yang diterima, namun menegaskan PUTRA tidak akan berkecil hati dan akan terus berpegang kepada agenda perjuangan yang disifatkannya sebagai bersih, bermoral dan berintegriti.

Beliau berkata, sejak awal lagi PUTRA mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional bagi mengelakkan pertembungan kerusi serta perpecahan undi dalam kalangan parti pembangkang.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan PUTRA menghargai tawaran kerjasama politik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun cadangan tersebut tidak dapat diterima berikutan kesuntukan masa selain kemungkinan berlaku pertindihan dengan kerusi yang telah dikenal pasti oleh Bersatu.

Mengulas mengenai perancangan parti selepas PRN Johor, Nasrul berkata PUTRA akan meneliti secara menyeluruh keputusan serta pola pengundian pilihan raya itu sebagai sebahagian daripada proses penilaian strategik parti.

Katanya, hasil analisis tersebut akan dijadikan asas bagi menentukan sama ada PUTRA akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan, termasuk melalui kerjasama pilihan raya dengan mana-mana pihak bagi mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan parti-parti Melayu.

Pada masa yang sama, fokus utama PUTRA adalah membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa PUTRA kekal komited memperjuangkan agenda rakyat, mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara serta memperkukuhkan kedudukan parti sebagai kuasa politik alternatif yang konstruktif dalam landskap politik negara.