NEGARAWATI TANAHAIR SERU PERTAHAN ASAS PERLEMBAGAAN, JANGAN GANGGU TIANG SERI NEGARA

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Pertubuhan Negarawati Tanahair menggesa semua pihak agar menghormati asas-asas pembentukan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak menjadikan perkara berkaitan identiti nasional sebagai bahan tawar-menawar politik.

Dalam satu kenyataan rasmi, Pengerusinya, Hajah Bibi Sunita S. Khan berkata pertubuhan itu memandang serius pelbagai isu yang timbul sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan sejak November 2022, yang menurutnya telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat.

Menurut beliau, walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang membenarkan perbezaan pandangan politik, terdapat beberapa perkara asas yang tidak boleh dipersoalkan kerana menjadi tunjang kepada pembentukan negara bangsa Malaysia.

Antara perkara yang ditegaskan ialah kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Institusi Raja-Raja Melayu, hak-hak Bumiputera sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial yang menjadi asas kepada kemerdekaan negara.

Beliau berkata perkara-perkara tersebut bukan isu yang wajar dirunding atau diubah mengikut kehendak mana-mana parti politik.

Dalam kenyataan sama, Negarawati Tanahair turut menyenaraikan beberapa isu yang menurut pertubuhan itu telah menimbulkan keresahan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam, perbahasan berkaitan ICERD dan Statut Rom, kontroversi berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), isu peruntukan kepada sekolah vernakular dan rumah ibadat tertentu, pengiktirafan Bak Kut Teh sebagai warisan kebangsaan serta polemik melibatkan identiti nasional, bahasa dan sensitiviti agama.

Menurut pertubuhan itu, kebimbangan bukan sekadar berpunca daripada perbezaan pandangan politik, tetapi terhadap apa yang disifatkan sebagai kecenderungan untuk mencabar asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui oleh para pengasas negara.

Negarawati menegaskan bahawa Malaysia dibina berasaskan semangat muafakat, toleransi serta penghormatan terhadap sejarah dan realiti masyarakat majmuk negara, bukannya berteraskan konsep liberalisme tanpa sempadan atau asimilasi mutlak.

Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menyeru mana-mana pihak yang berada dalam kerajaan supaya menghormati keseluruhan Perlembagaan Persekutuan dan bukan hanya menerima peruntukan yang dianggap selari dengan kepentingan politik masing-masing.

Mereka turut berpendirian menolak sebarang usaha yang didakwa boleh menghakis kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, melemahkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, menjejaskan hak-hak Bumiputera, mengubah identiti nasional, membawa dasar pembangunan yang mengakibatkan pengusiran komuniti asal secara tidak langsung, memperluaskan fahaman liberalisme dan pluralisme yang dianggap bercanggah dengan acuan kenegaraan Malaysia, serta mempersoalkan atau tidak sehaluan dengan titah Institusi Raja-Raja Melayu dalam perkara berkaitan Islam, Melayu, Perlembagaan dan kepentingan rakyat.

Pada masa sama, pertubuhan itu menggesa Kerajaan Persekutuan supaya terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara serta tidak tunduk kepada sebarang tekanan yang disifatkan boleh mengubah asas pembentukan negara.

Perpaduan nasional hanya dapat diperkukuhkan melalui penghormatan terhadap sejarah, Perlembagaan dan identiti negara, bukannya melalui paksaan ideologi.
Kenyataan itu diakhiri dengan seruan agar seluruh rakyat bersama mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta kedaulatan negara, sambil menegaskan bahawa “Negara berdiri teguh apabila tiang serinya tidak diganggu.