HASIL KAJIAN UIAM MENGESAHKAN KEPERLUAN REFORMASI TADBIR URUS DBKL – NEGARAWATI

KENYATAAN RASMI PERTUBUHAN NEGARAWATI TANAHAIR

1 Jun 2026

HASIL KAJIAN UIAM MENGESAHKAN KEPERLUAN REFORMASI TADBIR URUS DBKL – MASANYA KERAJAAN MELAKSANAKAN TUNTUTAN RAKYAT

Pertubuhan Negarawati Tanahair menyambut baik dapatan Kajian Kebolehlaksanaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) yang telah mengenal pasti bahawa kelemahan utama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berpunca daripada aspek tatakelola, pentadbiran dan pengurusan dalaman, bukannya kerana kekurangan kuasa undang-undang.

Dapatan ini mengesahkan pendirian Negarawati sejak sekian lama bahawa penyelesaian kepada pelbagai isu pembangunan bandar bukanlah dengan memperkenalkan mekanisme baharu atau memperluaskan kuasa DBKL, sebaliknya memperkukuhkan integriti, ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.

Sekiranya Kerajaan benar-benar komited untuk melaksanakan reformasi DBKL, maka reformasi tersebut hendaklah diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat terus kepada rakyat dan bukannya menambah kebimbangan terhadap hak pemilikan harta.

Sehubungan itu, Negarawati menyokong supaya kerajaan memberi pertimbangan serius terhadap tuntutan-tuntutan masyarakat akar umbi sepertimana Memorandum bersama oleh Koalisi Masyarakat Marhaen Kuala Lumpur yang telah diserahkan dan diterima oleh kepada pihak DBKL bertarikh 29 Jun 2026 seperti dibawah ini:

1. Mengeluarkan semua kawasan flat swasta daripada sebarang cadangan perobohan dan memberikan keutamaan kepada program penjanaan semula (urban regeneration) tanpa menjejaskan hak milik pemilik.

2. Menyalurkan peruntukan kerajaan bagi membaik pulih bangunan, menaik taraf sistem paip, pendawaian elektrik dan kemudahan asas tanpa mensyaratkan penyerahan hak atau pembangunan semula oleh pemaju swasta.

3. Mewartakan kawasan lapang dan zon hijau komuniti bagi memastikan kelestarian alam sekitar, kawasan tadahan air dan ruang rekreasi awam terus dipelihara.

4. Menilai semula kelulusan pembangunan baharu sehingga isu lambakan hartanah siap tetapi tidak terjual ditangani secara menyeluruh berdasarkan data dan keperluan sebenar pasaran.

5. Memberikan jaminan yang jelas bahawa sebarang pembangunan semula yang melibatkan hak milik strata hendaklah mematuhi kehendak undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk hak pemilik sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318).

6. Mempercepatkan penyelesaian terhadap aduan, bantahan dan permohonan penduduk yang masih tertunggak bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran DBKL.

7. Memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap struktur atau aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan awam, di samping menyediakan penyelesaian yang tersusun kepada peniaga melalui program penempatan yang sesuai.

8. Meningkatkan ketelusan pengurusan tanah awam melalui penyediaan portal maklumat yang memaparkan transaksi tanah kerajaan dan DBKL, tertakluk kepada undang-undang serta dasar ketelusan yang berkuat kuasa.

9. Menjalankan audit bebas terhadap projek pembangunan semula terdahulu bagi menilai sama ada objektif asal pembangunan benar-benar tercapai dan hasilnya memberi manfaat kepada rakyat sebagaimana dirancang.

Negarawati Tanahair ingin turut mencadangkan agar satu Suruhanjaya Bebas OMBUDSMAN DBKL dapat ditubuhkan selaras dengan prinsip ketelusan dan penyertaan awam dimana Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa atau suruhanjaya bebas yang dianggotai wakil penduduk, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan agensi berkaitan bagi memantau segala urusan berkaitan tadbir urus DBKL, menilai cadangan pembangunan semula bandar serta memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, berasaskan undang-undang dan melalui libat urus awam yang bermakna.

Negarawati Tanahair turut mengingatkan bahawa hak pemilikan harta dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, sebarang dasar pembangunan bandar hendaklah dilaksanakan secara adil, telus dan mematuhi semua peruntukan undang-undang, termasuk Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318), tanpa menjejaskan hak-hak pemilik yang sah.

Kajian UIAM telah memberikan satu mesej yang jelas kepada semua pihak iaitu masalah utama DBKL ialah kelemahan tadbir urus.

Maka keutamaan Kerajaan seharusnya ialah membina sebuah DBKL yang lebih cekap, telus, profesional dan bertanggungjawab sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan struktur atau mekanisme baharu yang boleh memberi implikasi besar kepada rakyat.

NEGARAWATI TANAHAIR TEGAS BERPENDIRIAN:

“Reformasi sebenar bukan merobohkan rumah rakyat, tetapi membina semula keyakinan rakyat terhadap tadbir urus kerajaan.”

HJH. BIBI SUNITA S. KHAN
Pengerusi
Pertubuhan Negarawati Tanahair