KUALA LUMPUR, 18 Jun — Pertubuhan Negarawati Tanahair (NEGARAWATI) menyatakan sokongan terhadap usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Islamnya dalam menyediakan bimbingan, kebajikan dan sokongan kepada pelajar yang telah memeluk agama Islam atau saudara baharu (mualaf).
Dalam kenyataan hari ini, pertubuhan itu turut membantah dakwaan bahawa poster program yang tular merupakan usaha mempengaruhi atau memaksa pelajar bukan Islam memeluk Islam, sambil menegaskan istilah “saudara baharu” merujuk kepada individu yang telah memeluk agama tersebut.
NEGARAWATI berkata penyediaan bantuan seperti bimbingan agama, sokongan psikososial dan kebajikan kepada golongan mualaf adalah sebahagian daripada tanggungjawab institusi Islam serta selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut pertubuhan itu, isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan selagi tiada unsur paksaan, ugutan atau pelanggaran undang-undang, sebaliknya hak umat Islam dan institusi Islam mengurus hal ehwal agama perlu dihormati.
NEGARAWATI turut menggesa semua pihak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, menyokong usaha institusi Islam membimbing saudara baharu serta membincangkan isu berkaitan secara berhemah, berfakta dan berpandukan Perlembagaan Persekutuan.






