PUTRA PERTIMBANG TANDING TUJUH KERUSI DUN PADA PRN JOHOR DAN NEGERI SEMBILAN

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) sedang mempertimbangkan untuk bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kemungkinan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata Biro Politik dan Ahli Dewan Tertinggi parti itu yang bermesyuarat pada 19 Jun lalu telah bersetuju secara prinsip untuk menyasarkan tiga kerusi DUN di Johor dan empat kerusi DUN di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, parti itu telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi, namun penyertaan dalam PRN Johor masih tertakluk kepada keputusan akhir yang dijadualkan pada 24 Jun ini.

Menurut beliau, antara pertimbangan utama ialah penyertaan PUTRA melalui kerjasama pilihan raya (electoral pact) bersama Perikatan Nasional, selaras dengan kesediaan gabungan itu untuk mengadakan rundingan.

Sehingga kini, PUTRA masih belum berpeluang mengadakan perbincangan rasmi dengan pimpinan PN walaupun usaha menghubungi mereka telah dilakukan. Pada masa sama, PUTRA turut mengambil maklum situasi dalaman yang sedang dihadapi PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata parti berkenaan tidak mahu dilihat sebagai punca kepada perpecahan undi Melayu sekiranya berlaku pertandingan pelbagai penjuru, memandangkan perjuangan PUTRA berteraskan agenda penyatuan ummah.

Katanya, keputusan untuk bertanding turut mengambil kira peluang kemenangan, kemampuan parti menggerakkan jentera pilihan raya serta penerimaan rakyat terhadap peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang.

Bagi Negeri Sembilan pula, Nasrul berkata keputusan sama ada PUTRA akan bertanding bergantung kepada kajian terhadap impak keputusan PRN Johor, khususnya berkaitan kesan perpecahan undi dan sentimen pengundi terhadap isu-isu semasa.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PUTRA akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan secara berperingkat tanpa bersikap terburu-buru dalam memperluaskan pengaruh politiknya.

PUTRA akan kekal sebagai parti yang bersih, berintegriti dan bermoral serta terus memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia, sama ada melalui institusi legislatif mahupun suara rakyat di luar Dewan,” katanya.

Beliau turut memohon doa agar perjuangan parti itu dipermudahkan dalam menghadapi cabaran politik semasa.