PUTRAJAYA, 16 Jun 2026 – Inovasi digital yang dibangunkan oleh sekumpulan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengharumkan nama jabatan itu apabila meraih pelbagai pengiktirafan dalam dua pertandingan inovasi bertaraf kebangsaan dan antarabangsa tahun ini.
Sistem Penilaian dan Klasifikasi Kastam (NiKKa), yang dibangunkan oleh Kumpulan Revotek, berjaya memenangi Anugerah Emas (Gold Award) pada 15th International Invention, Innovation & Design Competition (INDES) 2026 serta Pingat Emas (Gold Medal Award) dalam Digital Innovation & Technology Exhibition (DIGITEX) 2026.
Lebih membanggakan, sistem tersebut turut meraih Best Innovation Award di DIGITEX 2026 dan Tempat Ketiga Kategori Product Pitch di INDES 2026. Kejayaan itu mencerminkan keupayaan warga JKDM menghasilkan penyelesaian digital berimpak tinggi yang mampu menyokong agenda transformasi digital sektor awam negara.
Berasaskan Keperluan Operasi Sebenar
Pembangunan Sistem NiKKa tercetus daripada cabaran harian yang dihadapi pegawai kastam dalam melaksanakan proses klasifikasi dan penilaian barangan import serta eksport secara tepat, konsisten dan mematuhi kehendak perundangan.
Proses tersebut lazimnya memerlukan rujukan kepada pelbagai sumber, penelitian kes-kes terdahulu serta analisis data yang banyak sebelum sesuatu keputusan dapat dibuat.
Bagi meningkatkan kecekapan proses kerja tanpa menjejaskan integriti dan ketepatan keputusan, sekumpulan pegawai daripada JKDM Terengganu dan Ibu Pejabat JKDM Putrajaya mengambil inisiatif membangunkan satu platform pintar yang memanfaatkan data sejarah sebagai sumber pengetahuan digital.
Hasil usaha tersebut melahirkan Sistem NiKKa yang mengintegrasikan teknologi Data Analytics, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning, ML) bagi membantu pegawai membuat keputusan dengan lebih pantas dan berkesan.
Cemerlang di Pentas Inovasi
Pada INDES 2026 yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Seri Iskandar, Sistem NiKKa berjaya menonjol dalam kalangan ratusan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan sektor industri dari dalam serta luar negara.
Kejayaan tersebut diteruskan di DIGITEX 2026 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor apabila sistem berkenaan sekali lagi mendapat pengiktirafan tertinggi menerusi Pingat Emas dan Anugerah Inovasi Terbaik.
Pencapaian itu mengukuhkan potensi Sistem niKKa sebagai antara inovasi digital yang mampu menyumbang kepada peningkatan kecekapan, ketelusan dan tadbir urus organisasi berasaskan data.
Memperkasa Pegawai Melalui Teknologi
Menurut Kumpulan Revotek, sistem berkenaan dibangunkan dengan pendekatan bahawa teknologi berfungsi sebagai alat sokongan bagi memperkasa pegawai, bukannya menggantikan peranan manusia.
Melalui penggunaan AI dan ML, Sistem niKKa mampu menganalisis data sejarah, mengenal pasti corak keputusan terdahulu serta mengemukakan cadangan klasifikasi dan penilaian untuk disemak oleh pegawai kastam.
Pendekatan itu membantu meningkatkan ketepatan keputusan, mempercepat masa pemprosesan serta mengurangkan risiko ketidakseragaman dalam pelaksanaan tugas.
Di samping itu, penggunaan data secara sistematik dan telus turut menyokong usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus organisasi.
Kerjasama Rentas Negeri
Kejayaan pembangunan Sistem niKKa merupakan hasil kerjasama empat pegawai JKDM yang bergabung di bawah Kumpulan Revotek.
Pasukan tersebut diketuai oleh Muhammad Fathi Abd. Majid daripada JKDM Terengganu, bersama Ts. Mohamad Shahruzuan Shamsuddin daripada JKDM Putrajaya, Ismail Hassan dan Muhammad Adam Zahid, masing-masing daripada JKDM Terengganu.
Gabungan kepakaran operasi, teknikal dan pengalaman lapangan yang dimiliki pasukan itu menjadi faktor penting dalam pembangunan inovasi berkenaan.
Inspirasi Kepada Perkhidmatan Awam
Kejayaan yang dicapai oleh Kumpulan Revotek membuktikan bahawa inovasi berimpak tinggi boleh lahir daripada pengalaman operasi harian dan keinginan untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan.
Dalam era pendigitalan yang semakin berkembang, pencapaian tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha inovasi dalam sektor awam bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada organisasi, rakyat dan negara.
Sistem niKKa juga dilihat berpotensi menyokong pembangunan perkhidmatan kastam yang lebih pintar, cekap dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda transformasi digital sektor awam.
Gambar INDES 2026


Gambar Digitex 2026





