BUKAN ISU ANAK, PUAD CETUS PERSOALAN TERHADAP PROSES PEMILIHAN UMNO JOHOR

Keputusan Datuk Dr. Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada UMNO beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dinilai secara simplistik sebagai tindakan seorang pemimpin yang kecewa kerana anaknya tidak dicalonkan.

Ini kerana naratif sedemikian mungkin mudah diterima sebagai propaganda politik, namun ia berisiko mengaburkan persoalan yang jauh lebih besar dan lebih penting kepada masa depan UMNO Johor. Apa yang sedang dibawa oleh Puad sebenarnya ialah persoalan mengenai legitimasi proses pemilihan calon.

Dalam kenyataan terbukanya, beliau bukan sekadar mempertikaikan kegagalan anaknya dipilih, sebaliknya mengemukakan beberapa contoh calon yang menurut beliau tidak sewajarnya diberikan tiket bertanding, termasuk pemimpin veteran yang dikekalkan, individu yang pernah meninggalkan parti tetapi diberikan peluang semula, serta pemimpin muda yang telah lama bekerja di akar umbi tetapi diketepikan.

Persoalan-persoalan ini mengubah keseluruhan dimensi perbahasan. Ia bukan lagi mengenai seorang individu. Ia kini menyentuh mengenai sistem.

Naratif “Merajuk” Tidak Lagi Mencukupi

Dalam politik moden, persepsi sering kali lebih berpengaruh daripada fakta. Sekiranya isu ini terus dilabel ke atas Puas sebagai “kecewa kerana anak tidak dipilih”, ia mungkin hanya memberi kesan sementara.

Namun apabila beliau mula menyenaraikan beberapa keputusan pemilihan calon yang dianggap tidak konsisten, fokus masyarakat mula beralih kepada persoalan sama ada proses pemilihan benar-benar dibuat berdasarkan merit, prestasi dan penerimaan akar umbi?

Di sinilah mesej politik beliau menjadi lebih berbahaya. Puad sedang mencabar kredibiliti proses membuat keputusan dalam parti. Sekiranya naratif ini berjaya mempengaruhi ahli-ahli UMNO sendiri, kesannya boleh menjadi lebih besar daripada kehilangan seorang pemimpin.

Pertembungan Dua Pendekatan Kepimpinan

Apa yang berlaku sebenarnya memperlihatkan pertembungan dua pendekatan yang berbeza dalam strategi politik UMNO Johor. Pendekatan pertama memberi penekanan kepada kebolehmenangan segera di mana calon dipilih berdasarkan pengalaman, pengaruh tempatan dan kemampuan untuk mempertahankan kerusi tanpa mengambil risiko besar.

Pendekatan kedua pula melihat pilihan raya sebagai proses membina kepimpinan generasi baharu. Golongan muda yang telah lama bekerja di peringkat akar umbi sepatutnya diberikan peluang bagi memastikan kelangsungan parti dalam tempoh sepuluh hingga lima belas tahun akan datang. 

Puad jelas mewakili kelompok kedua.

Beliau melihat pengorbanan pemimpin muda yang diketepikan sebagai satu kesilapan strategik yang boleh memberi implikasi jangka panjang terhadap proses regenerasi kepimpinan UMNO, apatah lagi mencalonkan bekas pemimpin Bersatu yang baharu beberapa hari masuk kembali ke dalam UMNO. 

Sebaliknya, kepimpinan negeri dilihat memilih pendekatan yang lebih konservatif dengan mengekalkan beberapa nama lama serta memberi ruang kepada individu yang dianggap mempunyai nilai elektoral lebih tinggi.

Namun kedua-dua pendekatan mempunyai rasionalnya yang tersendiri. Namun persoalannya bukan lagi siapa yang betul. Persoalannya ialah sama ada proses membuat keputusan tersebut dapat diterima oleh akar umbi.

Ancaman Yang Tidak Kelihatan

Dari sudut pandang keselamatan politik, ancaman terbesar bukan semestinya datang daripada pembangkang. Sebaliknya, ia sering bermula daripada kemerosotan keyakinan dalam organisasi sendiri.

Apabila ahli parti mula mempercayai bahawa kesetiaan, prestasi dan kerja keras tidak lagi menjadi faktor utama dalam pemilihan calon, motivasi jentera pilihan raya akan mula terhakis. Mereka mungkin tidak meninggalkan parti dan mungkin tidak mengundi parti lawan.

Tetapi mereka juga mungkin tidak lagi bekerja dengan semangat yang sama. Fenomena inilah yang dikenali sebagai ‘silent resistance‘ atau penentangan senyap. 

Ia sukar dikesan melalui ceramah atau media sosial, tetapi kesannya boleh dirasai pada hari pengundian menerusi penurunan jumlah keluar mengundi penyokong sendiri, kelemahan operasi jentera dan pengurangan mobilisasi akar umbi.

Cabaran Kepimpinan Menteri Besar

Bagi Menteri Besar Johor, isu ini bukan sekadar mempertahankan senarai calon. Beliau kini perlu memastikan keyakinan akar umbi terhadap proses pemilihan tidak terus terhakis.

Sekiranya lebih ramai pemimpin tempatan mula menyuarakan rasa tidak puas hati selepas penamaan calon, naratif mengenai ketidaktelusan boleh menjadi lebih dominan daripada agenda pembangunan yang cuba dibawa kerajaan negeri.

Dalam politik, kemenangan pilihan raya tidak semestinya menandakan kemenangan moral. 

Parti boleh memenangi pilihan raya tetapi pada masa yang sama kehilangan kepercayaan sebahagian pemimpin pelapis yang bakal menentukan masa depan organisasi.

Implikasi Kepada Kepimpinan Nasional

Bagi kepimpinan tertinggi UMNO dan Kerajaan Persekutuan, episod ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa menguruskan persepsi dalaman kini sama penting dengan menguruskan persepsi awam.

Parti-parti politik moden tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada disiplin organisasi semata-mata. Ahli-ahli kini mempunyai platform media sosial untuk membentuk naratif mereka sendiri.

Sekiranya persepsi bahawa proses pemilihan calon tidak telus terus berkembang, kesannya bukan sahaja terhadap PRN Johor, malah boleh mempengaruhi proses pemilihan calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Kesimpulan

Datuk Dr. Puad Zarkashi mungkin telah meninggalkan UMNO. Namun isu yang beliau tinggalkan tidak akan berakhir dengan pengumuman keluar parti.

Hakikatnya, beliau telah mengalihkan perbahasan daripada persoalan mengenai seorang calon kepada persoalan mengenai sistem pemilihan kepimpinan dalam UMNO Johor. Sama ada dakwaan beliau benar atau tidak, ia kini menjadi isu persepsi yang perlu ditangani secara berhati-hati.

Dalam politik, persepsi terhadap keadilan sering kali lebih penting daripada kemenangan itu sendiri. Kerana sesebuah parti boleh kehilangan seorang pemimpin tanpa menjejaskan kedudukannya.

Tetapi apabila ahli mula kehilangan keyakinan terhadap proses membuat keputusan, parti berdepan risiko kehilangan sesuatu yang jauh lebih sukar untuk dipulihkan — iaitu kepercayaan.

Perkara ini telahpun dilihat dan dialami sendiri oleh UMNO pada tahun 2018.