Pemilik akhbar Sinar Harian Datuk Hussammudin Yaacub membuat siaran yang mengejutkan apabila meluahkan kekecewaan beliau apabila ada wakil menteri mengugut pihaknya untuk memboikot dan membatalkan kontrak iklan yang melibatkan kementeriannya, jika ada ruangan diberi kepada individu tertentu yang tidak beliau namakan.
Ciapan yang dibuat di laman Twitter beliau pada jam 2.32 petang tadi mendedahkan perilaku pegawai menteri yang sepatutnya bersikap terbuka dan lebih profesional tetapi “bertemu buku dengan ruas” apabila Datuk Hussamuddin tidak takut malah mendedahkannya.
“Rupanya di tahun 2021 pun masih ada pegawai menteri/kementerian yang berotak bingai, siap boleh ugut media untuk batalkan kontrak iklan dari kementerian tempat dia bertugas, jika media beri ruangan kepada si polan dan si polan. Siap ugut nak boikot lagi. Ingat boleh tongkat langit ke?“
Rujuk pautan;
https://mobile.twitter.com/Hussamuddin/status/1359389689212325889
Ciapan seterusnya pada jam 3.03 petang pula beliau tegaskan bagaimana kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Harapan walaupun tidak berapa setuju dengan pendirian akhbar Sinar tetapi lebih profesional dengan mengambil pendekatan menyantuni akhbar tersebut.
Beliau turut meminta agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar ‘tengok-tengokkan’ juga bagaimana sikap Menteri dan kementerian di bawahnya terhadap media bebas dan non partisan sepertinya.
“Kami buat akhbar bebas (watan/eksklusif/sinarHarian) sejak tahun 80’an lagi. BN/PH pun tak berapa suka dengan pendirian kami, tapi mereka tak pernah ugut malah siap engaged kami. Hubungan kekal mesra, walaupun “benci tapi rindu”. Geng baru ni lain macam pula. TSMY kena tengok-tengok juga.”
Rujuk pautan;
https://mobile.twitter.com/Hussamuddin/status/1359397548474003457
Justeru selepas ini pihak kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat masih gagal menyantuni media dengan baik malah sebelum ini pegawai-pegawai Tan Sri Muhyiddin dilihat gagal mempertahan Perdana Menteri dalam pelbagai isu termasuk dikecam di luar negara, agar dapat menjadi lebih profesional dan memahami tugas media adalah melapor daripada sudut pandang mereka yang tidak memihak.
Walaupun kerajaan melihat ia sebagai satu kritikan tetapi sepatutnya pihak kerajaan melihatnya daripada sudut positif iaitu sebagai “semak dan imbang” bagi pihak kerajaan.
Media mungkin dilihat kerap mengkritik, tetapi kerajaan pula tidak boleh dilihat terlalu cepat melenting dan pantang dikritik, apatah lagi sehingga berani mengugut.
Tindakan ini bukan sahaja melampau dan keterlaluan, malah dilihat cuba menyalahgunakan kuasa yang ada untuk menindas pihak media yang cuba kekal bebas dalam melaporkan berita.