Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razlan Rafii menyindir Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang sepatutnya lebih ikhlas dalam memberi jawapan mengapa Parlimen ditangguhkan. Rakyat akan faham jika kerajaan ikhlas mengatakan darurat adalah menstabilkan politik negara serta memudahkan kerajaan menangani masalah Covid-19.
Razlan juga secara sinis mencadangkan agar had umur Ahli Parlimen dipinda sekiranya faktor usia menjadi halangan untuk Dewan Rakyat bersidang ketika wabak Covid-19.
“Kalau ini (faktor umur) alasannya, saya cadangkan ordinan baru nanti meletakkan had kepada umur ahli politik, umur menjadi Ahli Parlimen atau ADUN 18 hingga 60 tahun.”
“Saya harap, Takiyuddin lebih ikhlas memberi jawapan, rakyat akan faham. Darurat adalah untuk meletakkan politik negara dalam keadaan stabil demi membolehkan kerajaan menangani masalah Covid-19.”
Menurut Razlan, kerajaan perlu memberi kenyataan yang jelas dan ikhlas agar tidak dilihat kerajaan hanya menipu rakyat.
“Tidak salah perkara ini diungkapkan secara lebih jelas dan ikhlas. Berdolak dalik isu sidang Parlimen menunjukkan kerajaan menipu rakyat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan jemaah menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan sehingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan Covid-19 yang dilihat bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Sebelum ini baginda menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen boleh diadakan ketika darurat. Rujuk pautan; https://editormalaysia.com/21885/
Takiyuddin berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan “perundangan serta analisis sains dan data” mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen yang mengundang kecaman ramai.
Justeru kerajaan perlu berterus terang dan ikhlas agar tidak dilihat menipu rakyat yang rata-rata berpandangan kerajaan hanya ingin mengelakkan sidang Parlimen yang sepatutnya dilangsungkan pada 8 Mac ini.