Kekandaku Dato’ Sri Ismail Sabri
Keluarkan kami dari kesengsaraan ini
Kami mahu hidup lagi…
Pandemik menggila, PKP silih berganti
Mampukah “Keluarga Malaysia” ini
Atau hanya retorik lagi
Aduhai kekandaku, kami mahu hidup lagi…
17 bulan ternanti kini ditambah 100 hari lagi
Bendera putih, tanda kami tidak tahan lagi
Namun kami dinista, kami dimaki
Cukup-cukuplah menghina kami
Kami mahu hidup lagi…
Ada yang sakit dan susah hati
Anak bini di rumah, ada yang mati
Ada yang kelaparan, ada yang bunuh diri
Ada yang ternanti-nanti, di mana cucu dan cicit yang lama pergi?
Ada yang menanti, namun jenazah yang kembali
Kami mahu hidup lagi…
Bukankah dua vaksin boleh ke sana dan ke sini?
Atau bila mati, hanya gali, kambus dan berlalu pergi?
Di manakah nurani?
Kekandaku Perdana Menteri
Kami mahu hidup lagi…
Nukilan;
Mohd Faisal Ramli
Kuala Lumpur