Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Saya terbaca pujian Dr Mujahid kepada YB Senator Ustaz Idris Ahmad di atas lantikan sebagai Menteri Agama yang baru. Soal ikhlas atau tidak itu nombor dualah. Tetapi sepertimana Dr. Mujahid, saya juga ada harapan tinggi kepada Ustaz Idris.
Cuma apabila Dr. Mujahid mengkritik prestasi Menteri Agama lama Dr Zulkifli dan Timbalannya Ustaz Ahmad Marzuk Shaary sebagai membuang masa dan terikut agenda politik sempit, saya fikir itu mengarut. Puncanya sebab keduanya terutama Ustaz Marzuk sangat fokus kepada isu Tabung Haji.
Tabung Haji bukan isu remeh. Tabung Haji ini adalah ‘nyawa’ kepada ekonomi umat Islam. Sepanjang 17 bulan, banyak masalah yang selesai walaupun mungkin tidak semua.
Ketika berlaku cadangan lantikan seorang non muslim bagi mengemudi hotel patuh syariah Tabung Haji (Hotel Movenpick), siapa yang akhirnya memberi jaminan bahawa perkara tersebut tidak berlaku lagi? Bukankah Ustaz Marzuk?
Bagaimana lantikan-lantikan PH boleh tergamak memulakan usaha lantikan tersebut sedangkan hotel syariah ini roh Islamnya mesti ditiup oleh pentadbir yang ada iman di dada. Apa ingat patuh syariah setakat tidak ada babi, tidak ada arak sahaja ke?
Ketika berlaku usaha jualan besar-besaran ladang milik Tabung Haji kepada syarikat bukan Bumiputera, siapa yang akhirnya bangun membantah dan memberi jaminan yang melegakan pendeposit Tabung Haji di Parlimen kalau bukan Ustaz Marzuk?
Macamana tergamak jual sebahagian tanah dengan penilaian sekitar RM4000 sehektar sahaja? Macam tidak ada nilai. Ini zaman siapa punya kerja?
Ingat kecil jumlah ladang yang hendak dijual? 77 ribu hektar tanah ladang dirancang hendak dijual pada zaman Pakatan Harapan. 77 ribu hektar ni agak-agak besar mana? Hampir sama besar dengan negeri Perlis (81,900 hektar). Besar atau tidak?
Jadi janganlah kata isu Tabung Haji yang diperjuangkan ini adalah politik sempit. Jangan kata isu remeh. Isu Tabung Haji ini isu umat Islam. Ia isu agama. Apa lagi yang lebih besar daripada agama?
Banyak lagi yang belum selesai untuk kita perbaiki tentang Tabung Haji. Belasan bilion aset TH yang dipindah ke anak syarikat milik MOF masih lagi belum selesai pembayarannya. Jaminan kerajaan masih tidak ada. Ini semua adalah tinggalan PH yang dikritik oleh Ketua Audit Negara.
Saya meletakkan harapan yang agak tinggi kepada gandingan Ustaz Idris – Ustaz Marzuk di kementerian ini. Saya fikir kenyataan terakhir Ustaz Idris yang mengkritik keputusan kerajaan meletakkan Tabung Haji di bawah Bank Negara Malaysia adalah satu signal bahawa umat ini boleh bergantung kepada beliau.
Selamat mengangkat sumpah Ustaz Idris, Ustaz Marzuk serta seluruh anggota kabinet esok. Semoga Allah membantu kalian semua.