Sebelum ini sudahpun kedengaran mengenai jawatan Perdana Menteri yang ditawarkan Perikatan Nasional kepada Sarawak. Kemudian, kira-kira sebulan lepas, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam juga mendedahkannya di FB Live beliau.
Kemudiannya usaha ini diteruskan lagi melalui rundingan berbeza, sama ada dalam pengetahuan pimpinan negeri Sarawak ataupun tidak, usaha Perikatan Nasional mahu kembali memerintah melalui jalan ‘tebuk atap’ atau rundingan ‘pintu belakang’ ini nampaknya semakin digiatkan. Pendedahan Lokman Adam sebelum ini sudah cukup kuat ditambah pula dengan maklumat terkini melalui rundingan terkini yang berlaku di Kuala Lumpur.
Walaupun ‘antiklimaks’ kerana Perikatan Nasional memperlekeh syarat utama Sarawak yang dikemukakan, tetapi ia jangan dipandang ringan kerana ini menunjukkan bahawa gabungan yang terdesak ini semakin kreatif. Ini termasuk melipatgandakan usaha ‘mencucuk’ beberapa pemimpin UMNO untuk menyingkirkan Presiden serta sanggup memperguna nama institusi yang sangat dihormati bagi meyakinkan pihak Sarawak.
Jangan lupa sebelum ini bagaimana tindak-tanduk mereka dalam isu lantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin, di mana beliau dipergunakan sepenuhnya untuk melemahkan UMNO.
Tawaran “scheme of things” Mahiaddin berkesan walaupun kini beliau sudah menyatakan hajat tidak akan menjadi Perdana Menteri dan memberi laluan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin menerajui rundingan membentuk kerajaan. Hakikatnya inilah ‘kepakaran’ Perikatan Nasional yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak.
Sejak PRU-14 apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, sehingga kini negara bergolak dan tidak stabil akibat dari kerakusan pemimpin-pemimpin yang hanya peduli kuasa dan bukannya mempeduli rakyat. Asyik merancang untuk menumbangkan kerajaan sehingga tugas-tugas hakiki membantu rakyat dilupakan terus.
Kepakaran Perikatan Nasional memecah-belahkan gabungan ini bukan lagi rahsia malah pendekatan mereka di Sabah dan Sarawak melalui ‘proksi’ atau pemimpin boneka yang boleh digunakan sesuka hati. Malah dalam Pakatan Harapan juga tidak terkecuali, wujud beberapa siri rundingan melibatkan beberapa pemimpin PKR dengan Perikatan Nasional sebelum ini bagi menumbangkan kerajaan.
Inilah bukti bahawa Perikatan Nasional semakin terdesak untuk kembali memerintah dengan naratif kononnya pemimpin-pemimpinnya kini dianiaya dengan pelbagai tuduhan mahkamah. Ini bertujuan agar penyokong-penyokong mereka tidak goyah dan taikun-taikun yang menyokong mereka tidak menjarakkan diri.
Siri “trial and error” menumbangkan kerajaan dengan pelbagai cara oleh Perikatan Nasional ini walaupun menyusahkan semua pihak termasuk rakyat namun tetap dilaksanakan tanpa jemu. Modus operandi mereka ialah dengan mencari pemimpin boneka yang mengikut cakap dan boleh dijadikan proksi di negeri-negeri yang disasarkan.
Dengan sokongan kuat akar umbi PAS, termasuk golongan muda Undi18, ia mampu mengukuhkan penguasaan mereka di mana sahaja. Kemudiannya Perikatan Nasional akan masuk memerintah sekaligus menyingkirkan mana-mana parti yang dominan.
Justeru, tentu Sarawak tidak mahu apa yang berlaku ke atas UMNO berulang kembali ke atas mereka.