Dahulu isu kafir-mengkafir ini berlaku pada tahun 80-an pada zaman Tun Mahathir Mohamad menerajui UMNO, seiring dengan Amanat Haji Hadi yang dilihat ‘ekstrem’, fanatik, tidak melambangkan Islam malah telahpun diharamkan pada tahun 2002.
Ramai pemimpin beranggapan bahawa amanat itu turut memberi impak terhadap budaya takfiri (mengkafirkan orang lain) dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Amanat itu wajib ditinggalkan kerana umat Islam hanya berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, amanat ini malah jatuh wajib ditinggalkan kerana ia bukan hadis Nabi Saw, yang dikhuatiri mudaratnya jauh lebih besar.
Bukankah ada mafhum hadis Rasulullah SAW yang berkata, siapa yang mengkafirkan orang lain, maka dialah yang kafir? Oh ya, mungkin ada ustaz-ustaz parti itu terlupa atau sengaja buat-buat lupa.
Malangnya pada pada tahun 2023, selepas lebih 40 tahun isu kafir-mengkafir itu berlaku, ia berulang kembali dan berlaku lagi pada zaman Tiktok, YouTube, Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp dan pelbagai lagi medium media sosial sudahpun wujud dan sebegitu maju.
Kali ini ke atas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Seri Ahmad Maslan apabila wajahnya diubah menjadi khinzir dengan tulisan ‘kafir’, yang dilihat sangat melampau serta ekstrem. Ini tindakan individu fanatik yang perlu dikenakan tindakan tegas.
Apapun, susulan daripada isu kafir-mengkafir itu, beberapa laporan polis sudah dibuat termasuk daripada Pemuda UMNO. Ahmad Maslan juga merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak yang telah membuat laporan polis terhadap akaun Facebook yang mengkafirkan beliau.
Beliau juga berkata, Bersatu dan PAS juga pernah bersama DAP suatu ketika dahulu, termasuk meminta ahli-ahlinya memangkah DAP, namun UMNO tidak pernahpun mengkafirkan mereka. Dalam masa yang sama Ahmad Maslan tidak menuduh pelakunya terlibat dengan mana-mana parti.
Justsru, jelas isu kafir-mengkafir ini sangat melampau, sehingga ke hari ini walau selepas 40 tahun, kesannya masih terasa di mana ia masih digunakan untuk menghina orang lain.
Cukup-cukuplah fanatik berparti, bukan agamapun sehingga ujub mahu mengkafirkan orang lain. Sungguh memualkan.