ISU NUJ: MALAYSIAKINI KESAL LAPORAN FITNAH UTUSAN

106
SHARES
340
VIEWS

NUJ cawangan Utusan Melayu melalui Presidennya Taufek Razak dan Setiausahanya Basir Abu Bakar menerusi satu memorandum yang salinannya dihantar kepada Malaysiakini telah membuat pelbagai tuduhan kepada Jabatan Pengarang Utusan. Taufek dan Basir mendakwa kononnya Jabatan Pengarang dan barisan editornya yang menyokong kerajaan pimpinan UMNO sebelum ini, melakukan rasuah.

Amat mudah meletakkan pertuduhan namun kerana itulah undang-undang itu sendiri memelihara setiap individu atau organisasi dengan mensyaratkan setiap pertuduhan mestilah mempunyai bukti dan beban pembuktian terpikul atas diri penuduh. Dalam konteks ini, NUJ cawangan Utusan Melayu diseret oleh Taufek dan Basir untuk menuduh Jabatan Pengarang Utusan dan barisan editornya melakukan rasuah, tanpa disertakan dengan sebarang bukti. Selanjutnya akhbar Utusan telah bertindak membuat laporan polis terhadap mereka selepas gagal membuat permohonan maaf.

Selain itu, terdapat juga cubaan fitnah dan tohmahan sebelum ini namun semua fitnah tersebut didapati tidak benar termasuk oleh Mahkamah Perusahaan sebelum ini. Taufek dan Basir turut menuduh Jabatan Pengarang gagal memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 dan perlu dirombak habis-habisan.

Sebagai akhbar yang dimiliki oleh UMNO dan UMNO pula adalah pihak kerajaan yang memerintah ketika itu maka sewajarnyalah akhbar Utusan menjadi wadah kepada UMNO agar masyarakat ataupun pembaca tahu mengenai agenda dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Namun perkara tersebut tiada kena mengena dengan faktor kemenangan ataupun kegagalan kerajaan kerana Barisan Nasional adalah terdiri daripada 13 parti komponen dan masing-masing mempunyai jentera tersendiri untuk tujuan memenangkan kerajaan.

Sekiranya benar Jabatan Pengarang Utusan mengamalkan rasuah dan mereka mempunyai bukti kukuh maka sewajarnya diadukan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk disiasat dan sekiranya tidak berlaku, pihak polis wajar menyiasat mereka di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan. Ini kerana memfitnah itu adalah satu kesalahan jenayah dan orang yang memfitnah itu boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda.

Ini kerana akhbar Utusan berhak untuk melindungi nama baiknya, maka sebarang salah laku yang menyebabkan reputasinya tercemar adalah kesalahan yang berhak diambil tindakan oleh mereka.

Apabila disiasat di bawah akta ini kelak, mungkin akan terungkai siapa lagi di belakang mereka berdua ini dalam cubaan memburukkan Jabatan Pengarang Utusan apatah lagi dengan menyeret dan mencemar imej NUJ sendiri sehinggakan Malaysiakinipun terpalit.

Selain itu, portal berita Malaysiakini turut melahirkan rasa kesal terhadap penyiaran berita Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Melayu yang memfitnah akhbar tersebut pada 30 Mei lalu. Berikut kenyataan Malaysiakini yang disiarkan minggu lalu.

“Malaysiakini berasa kesal atas penyiaran berita tersebut kerana tidak terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada Utusan Melayu sebelum menyiarkannya. Pihak kami sedar penyiaran berita telah menjejaskan reputasi dan nama baik Utusan Melayu. Kami tidak sewajarnya diheret oleh pihak tertentu dalam isu dan pertikaian dalaman media lain.”

Malaysiakini yang menjadi medium untuk menyiarkan berita fitnah Taufek dan Basir sebelum ini kemudiannya meminta maaf atas kekhilafan menyiarkan berita tersebut. Amalan berprinsip sebegini yang sepatutnya diamalkan oleh semua pengamal media tidak kira akhbar secara dalam talian ataupun akhbar konvensional.

Semangat ini yang tiada pada Taufek dan Basir.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts