MTEM: LAKSANA KENA BUKTI KEBERHASILAN PRIHATIN PKS, SYARIKAT PKS MELAYU PALING TERKESAN

110
SHARES
354
VIEWS

KENYATAAN MEDIA MAJLIS TINDAKAN EKONOMI MELAYU (MTEM) 

3 Mei 2020

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyambut baik kelonggaran PKP yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 1 Mei yang lalu. Kelonggaran ini akan membantu golongan miskin bandar, pekerja harian dan akan dapat mengurangkan tekanan majikan yang kekal membayar gaji tenaga kerja dalam krisis ini.

MTEM juga telah menerima pelbagai maklum balas berkenaan program PRIHATIN PKS. Berikut adalah sebahagian daripada dapatan kami:

1. Majoriti syarikat kecil Bumiputera agak tertekan kerana masih ramai yang belum menerima Employment Retention Programme (ERP), Wage Subsidy Programme (WSP) ataupun Covid-19 Special Relief Facility (SRF). Cukup ramai yang tidak layak oleh syarat-syarat bank untuk mendapat bantuan SRF. Akibatnya aliran tunai makin membimbangkan menjelang pelonggaran PKP minggu depan.

2. Kerajaan ada memperuntukkan geran buat peniaga kecil dan penjaja. Realitinya RM3000 itu terlalu sedikit untuk pengusaha kecil memulakan kembali operasi.

3. Laporan Persatuan Penjaja menunjukkan majoriti masih belum mendapat apa-apa bentuk bantuan dan tidak yakin akan dapat bantuan-bantuan ini. Geran RM3000 tersebut yang masih belum diberi bukan sahaja tidak mencukupi tetapi lambat untuk membantu peniaga kecil. MTEM menyarankan geran itu ditambah menjadi RM3000 sebulan selama 3 bulan.

4. Selain itu, berdasarkan dapatan MTEM juga wujud kerisauan yang hasil Bantuan Prihatin PKS adalah tidak selari dengan Agenda Wawasan Kemakmuran Bersama. Laksana mesti melaporkan perincian tentang syarikat yang mendapat SRF dari segi komposisi kaum, lokasi, industri dan sebagainya. MTEM tidak mahu kerajaan berselindung sebalik ‘ballpark figure’ bagi memberi gambaran indah. Malah jumlah pekerja yang sedang dibenarkan bekerjapun perlu dikongsi. Kita tidak mahu keadaan di mana rakyat tempatan dianaktirikan kerana pekerja asing lebih murah.

MTEM menuntut ‘transparency’ dalam tindakan polisi program Laksana. Maklumat sebegini sudah pasti akan membantu Kerajaan perhalusi fasa pemulihan yang akan diumumkan kelak.

5. Moratarium untuk sewa premis perlu diberi selari dengan moratorium bank selama 6 bulan.

MTEM tidak mahu pemilik premis menekan lagi keadaan ekonomi usahawan. MTEM akan memantau sejauh mana saranan YAB Perdana Menteri Tan Sri agar pemilik aset memberi kelonggaran sewa. Kesan PKP selama dua bulan ini cukup mencabar bagi semua PKS.

6. Keputusan kerajaan untuk membenarkan pihak bank mengenakan interest kepada jumlah yang tertunggak oleh mereka yang mempunyai tunggakan sewa beli adalah sangat dikesali. Ia telah memberi harapan palsu kepada rakyat dan menarik balik kelegaan mereka terhadap komitmen bayaran sewa beli selama 6 bulan tersebut

7. MTEM juga ingin meminta Kementarian Sumber Manusia supaya melaporkan kemajuan program ERP dan WSP kepada media awam setiap minggu kerana MTEM menerima laporan ramai yang belum menerima manfaat program ini.

8. MTEM menyarankan tentang keperluan kempen “Buy Malaysian First, employ Malaysian first, invest Malaysian first” untuk menjana ekonomi tempatan dalam tempoh yang terdekat sepanjang 2020. Harap ini akan dipertimbangkan dalam stimulus pemulihan seterusnya.

Merujuk kepada kenyataan YB Menteri Kewangan semalam, bukan sahaja industri digital perlu diberi keutamaan tetapi industri pertanian untuk menyokong Agenda Kedaulatan & Keselamatan Makanan di era Covid-19.

9. Agensi Kerajaan dan GLC perlu memainkan peranan supaya ekosistem Ekonomi Bumiputera diberi perhatian sewajarnya khususnya untuk menyokong mereka pasca PKP atau ketika PKP bersyarat berlangsung. Kita belum dengar apa-apa daripada agensi atau jabatan kerajaan yang bertanggungjawab memastikan ekonomi Bumiputera masih selamat atau makin malap ketika ini dan apakah yang sedang dirancang untuk membantu semua pemegang taruh ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Kesimpulannya, Kerajaan PN mesti memastikan ‘outcome’ PRIHATIN dan PRIHATIN TAMBAHAN PKS tidak menjarakkan lagi jurang ekonomi antara kaum khususnya antara Bumiputera dengan yang lain, termasuk jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.

Ini amat penting dalam perancangan fasa Pemulihan kelak. Adalah penting untuk semua dapatan dan maklumbalas ini dikaji selidik supaya kerajaan dapat memberi perhatian untuk terus membantu mengekalkan pekerjaan, menyokong PKS, pertahan peniaga kecil dan ekonomi Bumiputera dengan jayanya.

MTEM juga menyeru agar PKS Bumiputera turut mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan sewaktu fasa PKPB bagi memastikan usaha memerangi Covid 19 berkesan. Dalam masa yang sama PKS diminta untuk memastikan kebajikan para pekerja mereka tetap menjadi keutamaan dalam kita sama-sama mengharungi ujian Covid 19 dan ekonomi ini.

Ahmad Yazid Othman

Ketua Pegawai Eksekutif

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts