GPMS MENJUNJUNG KASIH DAN MENYAMBUT BAIK PROKLAMASI DARURAT BAGI MEMBENDUNG PENULARAN COVID-19

353
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS) 

12 JANUARI 2021

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong terhadap Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai inisiatif membendung penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ini.

GPMS yakin dan percaya, bahawa pengisytiharan darurat ini adalah satu-satunya langkah terbaik buat masa ini, dalam menangani pandemik Covid-19 di negara ini yang semakin kritikal selain terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis lain seperti krisis politik, bencana alam serta ketidaktentuan ekonomi yang berlaku pada masa yang sama.

Pada masa yang sama, GPMS juga ingin menzahirkan harapan kami mewakili golongan belia kepada pihak kerajaan dalam menghadapi tempoh sukar ini. GPMS berharap, agar kerajaan dapat memastikan agar kebajikan rakyat terutama golongan belia terbela dan tidak terkesan teruk dari pelaksanaan darurat ini. Bantuan sosial seperti yang diperuntukkan semasa pelaksanaan PKP1.0, mestilah diteruskan dengan mengambil kira keperluan semasa golongan belia.

Selain itu, kerajaan juga diharap memberi perhatian khusus kepada masalah pengangguran yang semakin meningkat semenjak pandemik ini melanda negara, agar negara tidak terbeban dengan peningkatan masalah sosial yang memberi impak negatif kepada kehidupan rakyat. Dalam masa sama, kerajaan diharap dapat meneruskan inisiatif pemerkasaan ekonomi yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan institusi pengajian tinggi dan institusi teknikal supaya mereka tidak turut terbeban dengan masalah pengangguran.

Kerajaan juga diharap dapat tidak meminggirkan golongan belia yang menjalankan perniagaan sendiri dan terjejas akibat pelaksanaan PKP dan perintah darurat. Ramai di kalangan belia yang berniaga menyatakan keresahan mereka menghadapi PKP sekali lagi di mana pendapatan mereka terjejas teruk kerana aktiviti perniagaan terpaksa ditutup dalam tempoh itu atau beroperasi secara terhad. GPMS memohon agar kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan perniagaan PKS seperti Geran Khas Prihatin seperti yang diperuntukkan semasa PKP1.0. 

GPMS juga ingin menarik perhatian kerajaan terhadap sektor pendidikan yang terkesan teruk semenjak pandemik ini melanda. Di bawah PKP, penutupan semua institusi pendidikan dari pra sekolah hingga universiti memaksa pembelajaran dilakukan secara maya. Ini mendatangkan cabaran besar buat golongan pelajar dan pendidik, terutama yang berada dalam kelompok B40 dan yang tinggal di kawasan luar bandar. Ketiadaan keperluan dan kemudahan asas seperti peranti dan capaian internet, menjadi beban besar kepada dalam memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran. Bencana banjir yang melanda kawasan-kawasan tertentu terutama di kawasan pantai timur dan selatan negara ini, memburukkan lagi keadaan apabila banyak peranti dan buku-buku yang rosak akibat ditenggelami air.

Justeru, GPMS ingin mencadangkan agar kerajaan Malaysia menyediakan satu peruntukan khas bagi menyediakan peranti dalam bentuk ‘tablet’ atau komputer riba yang telah disiapkan dengan ‘pra-muat turun, (pre-install) aplikasi pembelajaran, buku teks digital dan buku rujukan digital dan diberikan kepada pelajar seluruh Malaysia dari golongan B40 dan golongan luar bandar yang tidak mempunyai capaian internet. GPMS percaya, langkah ini akan membantu memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran dan juga menyediakan mereka dengan pengetahuan digital yang lebih baik bagi sebagai persiapan digitalisasi pendidikan.

GPMS berharap, agar semua pihak menyambut baik pengisytiharan darurat ini demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. GPMS menyeru semua pihak di negara ini menggembleng tenaga bagi memastikan kejayaan negara dalam memerangi wabak Covid-19 ini dengan mematuhi segala arahan kerajaan yang telah ditetapkan.

GPMS sekali lagi ingin menjunjung kasih ke atas titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong atas Pengisytiharan Proklamasi Darurat ini dan mendoakan agar Ke Bawah Duli dan Raja Permaisuri Agong sihat dan dirahmati Allah sentiasa dan diberi ilham dan kekuatan dalam memastikan yang terbaik buat negara dan rakyat Malaysia.

MOHD ALIF ANAS MD NOOR

Presiden GPMS

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts