Setelah hanya 22 bulan tumbang akibat dari kesilapan sendiri apabila Tun Mahathir Mohamad tersalah langkah meletakkan jawatan, lantas menjerumuskan Pakatan Harapan ke kerusi pembangkang dengan serta-merta.
Sukar mereka menerima hakikat seronok ‘bersemayam’ atas kerusi empuk Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi GLC, Pengarah pelbagai Yayasan dan Suruhanjaya, namun sekelip mata tumbang dan kembali ke tampuk lama mereka selaku pembangkang tegar yang berpengalaman.
Pengalaman mereka selaku pembangkang terus digilap kembali dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menumbangkan kerajaan terutamanya dengan permainan menimbulkan persepsi, memfitnah, menipu dan melaga-lagakan antara pemimpin kerajaan.
Jika sebelum ini permainan mereka tidak terhad, ada pelbagai isu boleh dimainkan, antaranya GST, 1MDB, Tabung Haji, FELDA, siri pembunuhan sadis Altantuya, Kevin Morais dan Teoh Beng Hock, isu penjualan negara ke China, formula minyak rendah dan pelbagai lagi.
Ternyata hanya 22 bulan cukup untuk menampakkan tembelang mereka yang menipu segala-galanya, memfitnah tanpa batasan, mewujudkan persepsi tanpa berlandaskan kebenaran serta tanpa segan silu melaga-lagakan dan memecah-belahkan sesiapa sahaja yang menghalang mereka mencapai matlamat.
Maka setelah strategi lapuk mereka terbongkar, setelah isu 1MDB, GST dan lain-lainnya tidak lagi menjadi senjata ampuh, maka tindakan melaga-lagakan antara Perikatan Nasional dihidupkan agar pemimpin dan rakyat yang menolak Pakatan Harapan akan sentiasa berprasangka antara satu sama lain dan mencurigai niat masing-masing.
UMNO digambarkan rakus ingin berkuasa, demand jawatan dan kiranya diibaratkan ‘budak nakal’ dalam Perikatan Nasional yang sentiasa menimbulkan masalah kerana kononnya mempunyai kerusi majoriti. PAS pula digambarkan tengah seronok memperoleh kuasa dan tidak menghiraukan yang lain, manakala Bersatu pula digambarkan sebagai pembuli, walaupun kerusi tidak sebanyak UMNO, malah hanya dikuatkan oleh kerusi Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke Bersatu, tetapi menguasai kerajaan.
Mungkin terdapat seorang dua daripada pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Khaled Nordin yang kerap mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya yang tidak memenuhi aspirasi dan semangat Perikatan Nasional tetapi ia bukanlah menggambarkan pendirian UMNO secara keseluruhan.
Maka perkara sebegini akan diambil peluang oleh Pakatan Harapan menjayakan agenda melaga-lagakan antara pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional demi membalas dendam ditumbangkan dengan cara yang amat memalukan apabila Perdana Menteri mereka sendiri iaitu Tun Mahathir yang kemaruk kuasa, sentiasa mencari ikhtiar tidak mahu melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tersilap langkah meletakkan jawatan.
Sekaligus mewujudkan ruang untuk jawatan Perdana Menteri diisi oleh orang lain dan akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih untuk menerajui kerajaan Perikatan Nasional.
Sedangkan hakikat sebenarnya baik UMNO ataupun Bersatu, masing-masing faham peranan dan hala tuju masing-masing demi menjayakan agenda memulih dan memperkasa ekonomi negara yang memburuk di zaman Pakatan Harapan memerintah.
Kesemua pihak dalam Perikatan Nasional tidak kira UMNO, PAS, MIC, MCA, GPS mahupun Bersatu sendiri faham dengan jelas bahawa mereka bersatu demi menumbangkan Pakatan Harapan terutamanya DAP yang memusnahkan negara serta nilai-nilai murni yang selama ini dipupuk dengan baik menerusi propaganda berterusan.
Agenda mereka hanya satu, untuk melihat Perikatan Nasional bergaduh sesama sendiri serta memungkinkan Pakatan Harapan mengambil peluang melaga-lagakan dan memainkan isu ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.
Justeru setiap pihak dalam Perikatan Nasional wajar bersangka baik sesama sendiri dan jangan termakan umpan serta perangkap yang dicipta oleh Pakatan Harapan yang sememangnya mahir dan berpengalaman menghasut selama ini.