Raja Salman bangga dengan cara Arab Saudi menangani pandemik Covid-19, yang dititahkan oleh Baginda dalam sebuah ucapan menandakan permulaan bulan Ramadan pada Khamis lepas.
“Ketika ini kita hidup dalam situasi mencabar yang mempengaruhi kehidupan seluruh umat manusia,” titah Baginda dalam ucapan yang disampaikan oleh pemangku Menteri Media Arab Saudi, Majid Al-Qasabi.
Baginda bertitah bahawa kerajaannya akan terus komited dan bekerja keras ketika “situasi sulit ini”. Baginda turut menzahirkan perasaan sugul apabila melihat solat berjemaah tidak dapat dilakukan di masjid-masjid pada bulan suci Ramadan kerana dunia masih dilanda wabak coronavirus.
Ucapan itu dibuat sejurus selepas Mahkamah Agung Saudi mengumumkan Ramadan 2020 akan bermula pada hari Jumaat. Selama bulan Ramadan, Arab Saudi akan meringankan penutupan dari pukul 9 pagi sehingga 4 petang. Restoran, kecuali trak makanan dan katering, akan dibenarkan mengendalikan perkhidmatan penghantaran dan pengambilan dari jam 3 petang sehingga 3 pagi.
Sebanyak 1,158 kes baru melibatkan positif Covid-19 dicatat di Saudi pada hari Khamis, 15 peratus daripadanya dalam kalangan warga Saudi dan 85 peratus adalah ekspatriat, menjadikan jumlah kes keseluruhan di Arab Saudi menjadi kepada 13.930.
Terdapat 113 pesakit baru yang pulih dengan jumlah keseluruhan menjadi 1,925 sementara 7 kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 121 orang.