ISU PENIAGA TEPI JALAN, WARGA ASING BERNIAGA DAN KEDAI JUDI PERLU PENYELESAIAN SEGERA

417
SHARES
1.3k
VIEWS

Tular sejak semalam video rakaman pemilik Hot Burger, Mohd Asri Hamid mengenai premis judi dan kedai milik warga Acheh yang berleluasa di Bandar Baru Sungai Buloh yang menggemparkan negara.

Rujuk; https://youtu.be/DFDM4SmGbHQ

1. Warga asing bebas berniaga termasuk rokok seludup, warga tempatan berniaga burger pula diserbu

Rakaman beliau juga menunjukkan bagaimana warga Acheh berniaga rokok seludup tidak dikenakan tindakan langsung walau telah bertahun berniaga dan kedai judi pula semakin bercambah.

Namun apa yang menyedihkan, peniaga burger tepi jalan yang dimiliki warganegara sendiri pula diserbu, barangan dirampas dan disaman, sedangkan selama ini beliau banyak membantu pekerja rakyat Malaysia menambah rezeki melalui perniagaan kedai burger tepi jalan.

Apatah lagi pasca PKP yang ramai dibuang kerja ataupun hilang mata pencarian apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, tetapi kenapa kedai burger warga tempatan dahulu yang dijadikan sasaran?

Adakah ini berkaitan aduan beliau sebelum ini terhadap premis judi?

2. Benarkah aduan ‘dibocorkan’?

Tidak cukup dengan tindakan tersebut, aduan peniaga Hot Burger tersebut ke Bukit Aman pula didakwa ‘dibocorkan’ apabila tauke kedai judi boleh tahu siapa yang melaporkannya ke Bahagian Perjudian Bukit Aman (rujuk video tersebut pada minit ke-10.12).

3. Peniaga Hot Burger kini dibantu NGO Islam

Alhamdulillah, tular pula video kedua yang memaparkan wajah beliau yang boleh dipuji keberaniannya apabila membuat pengakuan terbuka, yang sedang memakai baju NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang disiarkan oleh Malakat Tribune.

Rujuk; https://youtu.be/eABOJtc0TtM

Rakaman menunjukkan beliau kini bersama NGO tersebut dalam mengharungi permasalahan peniaga-peniaga tepi jalan seperti beliau yang selama ini seperti dibuli sepanjang masa, malah warga asing pula bebas berniaga.

Mohd Asri juga berkata, Ketua Polis Sungai Buloh membuat sidang media mengatakan pihak polis membuat laporan ke atasnya kerana membuat tohmahan sedangkan beliau mendakwa telah menghantar pelbagai bukti termasuk video kepada Bukit Aman. 

Kerajaan wajar bertindak pantas, polis dan pihak berkuasa tempatan wajar menjalankan operasi bersepadu menghapuskan terus perniagaan dimiliki warga asing, tidak kira yang memiliki permit sah bekerja ataupun PATI.

4. Warga asing hanya boleh bekerja di sektor yang ditetapkan termasuk ‘3D’, tetapi kini ramai di tempat lain ‘mencuri’ pekerjaan rakyat tempatan

Ini kerana warga asing tetap tidak boleh berniaga, mereka didatangkan ke negara ini bekerja di sektor-sektor tertentu yang telahpun ditentukan mengikut negara sumber terutamanya pekerjaan ‘3D’ iaitu merbahaya (dangerous), sukar (difficult) dan kotor (dirty).

Sebagai contoh pekerja Indonesia dan Bangladesh di sektor pembinaan, maka jika kita berjumpa mereka berniaga tepi jalan, sama ada menjadi pekerja ataupun tauke, mereka tetap boleh ditangkap kerana permit pekerjaan mereka tidak menetapkan sebagai pembantu kedai ataupun pelayan restoran. Tetapi kenapa mereka semakin ramai dan berleluasa bekerja di luar sektor ditetapkan termasuk berniaga? Apa sudah jadi?

5. Hapuskan warga asing berniaga dan premis judi terlebih dahulu

Kerajaan perlu menetapkan SOP jelas iaitu serbuan dilakukan terhadap premis kedai judi dan perniagaan warga asing yang perlu dibanteras dan dihapuskan terlebih dahulu, kemudian barulah boleh peniaga burger atau gerai tepi jalan milik warga tempatan yang melanggar undang-undang pula diserbu.

6. Wajibkan serbuan dengan kehadiran pihak ketiga seperti NGO

Itupun wajar diwajibkan dengan kehadiran pihak ketiga seperti NGO bagi memantau serbuan terhadap kedai burger atau gerai tepi jalan milik warga tempatan yang majoritinya dimiliki oleh Melayu Muslim tersebut – ini kerana banyak aduan mereka diserbu seperti ‘samseng’ oleh PBT

Kerajaan bersusah payah mewujudkan peluang pekerjaan namun dalam masa yang sama kenapa peniaga burger ataupun gerai tepi jalan yang mencari rezeki bagi menampung kehidupan pula diserbu?

Tidak salah serbuan dibuat jika jelas melanggar undang-undang ataupun menghalang laluan sehingga menyebabkan kesesakan tetapi perlu diingat, wajar hapuskan premis judi dan peniaga warga asing terlebih dahulu, terutama yang menjual rokok seludup.

7. Saranan agar serbu dan kemudian tawarkan pekerjaan jika memerlukan

Selain itu, sewajarnya disyaratkan mana-mana kedai atau gerai rakyat tempatan yang diserbu itu, ditawarkan pekerjaan oleh PBT berkenaan dengan menyalurkan ke pihak berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja ataupun mana-mana syarikat yang bekerjasama dalam hal mencari pekerjaan buat mereka, agar PBT tidak menyerbu sesuka hati mereka.

Bukan sekadar serbu tetapi lepas tangan apabila rakyat Malaysia sendiri hilang mata pencarian dan apa yang lebih menyakitkan hati, premis judi semakin bercambah dan peniaga warga asing bebas berniaga tidak dikenakan tindakan termasuk yang menjual rokok seludup.

8. Ikut arahan tegas Ketua Polis Negara

Polis pula perlu melaksanakan arahan Ketua Polis Negara yang mahu menghapuskan judi atau ‘sifar judi’, pihak polis wajar melaksanakannya dan jangan pula menutup mata dengan kebejatan yang berlaku tidak kira di Sungai Buloh atau mana-mana tempat di Selangor, malah hapuskan premis judi dan warga asing berniaga di seluruh negara dengan segera.

Pihak berkaitan perlu bertanya diri sendiri, Malaysia ini milik siapa? Adakah ia milik warga asing atau rakyat Malaysia?

Malah isu ini wajar dibangkitkan di kabinet agar tindakan paling tegas dikenakan.

Cukup-cukuplah.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts