BAJET SELANGOR 2021: TIDAK FOKUS ISU RAKYAT TERKESAN PKP COVID-19

210
SHARES
676
VIEWS

Oleh Shehdi Hazrik Shamsudin

Di kalangan ahli politik sudah mula bersuara menilai Bajet Selangor 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari jumaat lepas lebih kepada Bajet “copy & paste” dan tidak tertumpu pada masalah besar membantu rakyat yang terkesan akibat pendemik wabak Covid-19 apabila jumlah dan peruntukan belanjawan yang hampir sama dibentangkan iaitu RM2.32 bilion berbanding RM2.33 billion bagi bajet tahun 2020.

Daripada jumlah tersebut, RM1.22 bilion atau 53 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus berbanding RM1.2 bilion bagi bajet tahun lepas, di mana ada sedikit peningkatan dalam perbelanjaan mengurus namun terdapat pengurangan pula dalam belanja pembangunan iaitu sebanyak RM1.10 billion atau 47 peratus berbanding RM1.13 bilion atau 49 peratus bagi bajet tahun lepas.

Dalam pembentangannya, Amirudin berkata belanjawan kali ini memberi tumpuan kepada lima strategi namun tiada satupun peruntukan yang menyasarkan terus kepada kehidupan rakyat yang terjejas dengan pendemik penularan wabak Covid-19 yang mencetuskan kegelisahan kesihatan dan ekonomi rakyat ketika ini.

Fokus Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya meletakkan keutamaan dalam usaha membantu demi kelangsungan hidup rakyat. Tidak dinafikan terdapat beberapa bantuan dalam bentuk inisiatif yang ditawarkan, namun ia hanyalah kesinambungan dari apa yang telah dilaksanakan dalam Belanjawan 2020 dan tidak ada beza dan baharu atau menarik untuk tahun kali ini.

Sebagai contoh peruntukan RM130 juta bagi program Selangor Advance, walaupun meningkat dari bajet sebelum ini RM75 juta namun ia adalah pinjaman yang khusus dan tidak menyeluruh kepada rakyat, bagaimana pula nasib perniaga goreng pisang dan nasi lemak tepi jalan yang tiada invois, bagaimana pula nasib mereka yang kehilangan pekerjaan terutama dari sektor pelancongan dan penerbangan? 

Kegusaran rakyat memuncak apabila jumlah pengganguran di Selangor meningkat kepada 161,300 dengan kadar kenaikan 4.6 peratus akibat dari pelaksanaan PKP ini, namun ia tidak menjadi fokus penyelesaian dengan baik oleh kerajaan negeri. Tema “Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat” hanyalah indah khabar dari rupa apabila menurut Amiruddin sendiri kerajaan negeri hanya menyasarkan 15,000 sahaja peluang pekerjaan di negeri Selangor.

Antara contoh program yang boleh membantu rakyat ketika menghadapi PKP ini adalah seperti pemberian 10 atau 20 meter padu air percuma kepada seluruh rakyat Selangor sehingga selesai PKP sekalipun dibiayai secara “cost sharing” dengan Air Selangor. Paling tidak ia dapat mengurangkan bebanan rakyat dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19 yang memerlukan mereka sentiasa membersihkan diri.

Bercakap soal air yang menjadi isu hangat di Selangor saban tahun, persoalan akauntabiliti kini menjadi persoalan rakyat di mana baru-baru ini dimaklumkan lebih RM200 juta telah dibelanjakan bagi mengatasi masalah air di Selangor tahun ini dan jumlah yang sama juga diperuntukan bagi bajet tahun 2021, namun masalah yang sama masih lagi kerap berlaku. Apa yang terjadi dengan RM500 ribu Program Rakan Sungai dan Bajet 2021 pula ditambah RM1 juta, namun keberkesanannya kini dipersoalkan apabila pencemaran air sungai tetap kerap berlaku.

Belum sebut soal masalah kekerapan berlaku banjir di Dengkil, Sepang, Hulu Langat, Kuala Selangor dan sebagainya. Saban tahun peruntukan berjuta ringgit disediakan bagi pembangunan tambatan banjir namun masalah yang sama tetap berlaku dan yang lagi tragis tempat kawasan yang sama kerap berlaku banjir kilat dan ‘banjir termenung’.

Negeri Selangor adalah negeri yang paling tinggi memperolehi hasil daripada kutipan cukai, maka cadangan agar diberikan pengurangan atau pengecualian cukai ke atas rakyat Selangor terutama kepada peniaga yang terjejas juga adalah satu inisiatif yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan beban kewangan rakyat ketika krisis Covid-19 ini.

Pengecualian caj lesen perniagaan atau moratorium kepada peniaga-peniaga pasar malam dan peniaga kecil yang baru hendak bertapak akibat kehilangan kerja perlu diberi perhatian dan satu peruntukan khas secara ‘one-off’ perlu dipertimbangkan bagi membantu mereka berniaga. Berikan mereka lesen berniaga secara percuma sementara waktu PKP ini kepada gerai-gerai burger, nasi lemak dan goreng pisang yang baru ingin mencuba berniaga kecil-kecilan untuk mencari rezeki hidup di kala kesempitan ekonomi kini.

Hairan saya melihat apabila berjuta-juta ringgit diperuntukkan untuk projek-projek seperti ubah suai bangunan, E-sport, lesen motor percuma, penganjuran Selangor Aviation Showcase dan sebagainya dibentangkan ketika negara sedang menghadapi krisis Covid-19 ini. Bagi saya sebaiknya program-program ini boleh ditangguhkan dahulu dan digantikan dengan bantuan terus kepada rakyat.

Ketika ini kelangsungan hidup rakyat perlu diberi perhatian oleh semua pihak dan cadangan agar kerajaan negeri menggunakan rizab tunai yang berjumlah RM2 billion adalah tepat pada masanya bagi menampung pembelajaan dan pemberian peruntukan menyeluruh demi kelangsungan hidup rakyat yang sangat terkesan akibat PKP wabak Covid-19 ini.

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan;

https://www.facebook.com/1533705290007917/posts/3726930460685378/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts