SELANGOR JUARA DALAM 3 KATEGORI – ISU AIR, COVID-19 DAN DENGGI

385
SHARES
2.3k
VIEWS

Oleh Lau Chin Kok

Selangor merupakan negeri paling maju di Malaysia, tetapi malangnya negeri itu telah mengalami kekerapan gangguan bekalan air yang paling tinggi di negara ini. Selain itu, Selangor juga memegang rekod paling tinggi mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 dan juga negeri yang paling banyak berlakunya kes denggi. Ini bukan sesuatu perkara yang membanggakan, sebaliknya amatlah merisaukan.

Hampir setiap bulan, Selangor akan mengalami gangguan bekalan air dan hampir setiap hari, Selangor mencatatkan jumlah kes harian baharu Covid-19 yang tertinggi di Malaysia. Malah, setiap tahun Selangor juga merekodkan jumlah kes denggi yang paling banyak. Ini membangkitkan persoalan, apakah yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu ini? Adakah mereka tidak kisah mengenai kebajikan dan kesihatan rakyat?

Tidak dinafikan, pada masa ini, tumpuan lebih diberikan kepada jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari sehingga terlupa mengenai ancaman wabak demam denggi yang menyebabkan lebih 100 kematian setiap tahun.

Setakat 21 Disember 2020, sebanyak 88,560 kes denggi dilaporkan di Malaysia, dan sebanyak 49.52 peratus daripadanya adalah di Selangor (43,848). Pada tahun 2019, Selangor juga mencatatkan kes tertinggi dengan 57,980 (71 peratus) daripada 81,635 di seluruh negara; pada tahun 2018 Selangor mencatat kes tertinggi dengan 32,614 kes (40.45 peratus) daripada 80,615 di seluruh negara, dan pada 2017, sebanyak 42,392 kes (50.56 peratus) daripada 83,849 kes di seluruh negara.

Lebih mengecewakan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Selangor bagi Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB Dr Siti Mariah Binti Mahmud seolah-olah tidak mahu membuat apa-apa tindakan, sebaliknya hanya menguar-uarkan jumlah kes denggi pada tahun 2020 telah menurun. Namun, tiada langkah diumumkan oleh beliau untuk menangani kenaikan jumlah kes denggi.

Justeru itu, kerajaan negeri Selangor digesa supaya berhenti berlengah dan mencari alasan berhubung kes denggi yang semakin meningkat ini. Jangan hanya memberi alasan dan menuding jari sepertimana yang dibuat semasa berlakunya krisis gangguan bekalan air dan kes COVID-19.

Selain itu, penduduk Selangor juga dinasihati mengambil langkah perlindungan diri daripada ancaman wabak denggi, contohnya meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk memeriksa keadaan sekelilling rumah bagi memastikan tiada air bertakung yang mampu menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Kerajaan Selangor juga digesa supaya segera mengumumkan pelan untuk menangani wabak denggi ini.

(Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA dan Naib Pengerusi MCA Bahagian Puchong)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts