Arak di sisi Islam adalah haram, ia bukan hanya ditolak oleh agama tetapi juga dari sudut moral asasnya memudaratkan. Larangan tegas dalam Islam ini dilihat apabila pengharamannya itu bermula daripada yang membuat arak, pembekal, penjual dan seterusnya hinggalah kepada mereka yang meminumnya. Sabda Nabi SAW, maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
2. Dan dalam satu riwayat hadis menyebut tentang bagaimana Rasulullah SAW melaknat arak pada sepuluh orang, iaitu: “Orang yang memerahnya, orang yang minta untuk diperahnya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang minta untuk dibawakannya, orang yang memberi minuman arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan wang harga jualnya, orang yang membelinya, dan orang yang dibelikannya.” (Hadits Riwayat al-Tirmidzi).
3. Sebagai sebuah Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) menyokong penuh tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baru dengan menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober 2021 tahun depan. DBKL harus teguh dengan keputusan ini jangan sampai berubah apabila kelak ada campur tangan politik.
4. Walaupun akan dilaksanakan tahun hadapan, namun usaha ke arah membasminya sudah terlihat dan diharap DBKL terus istiqamah menunaikan garis panduan ini, jangan pula nanti disebabkan campur tangan politik akhirnya garis panduan ini terpaksa diubah lagi atau kembali kepada keadaan yang lebih teruk lagi. MUAFAKAT bersetuju dengan tindakan DBKL selaras dengan dalil yang menyebut; “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.” (Hadis Riwayat Al-Nasa’i)
5. Kerasnya hukum arak dalam Islam ini boleh diambil sandarannya kepada Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah: ayat 90)
6. Sehingga kini, kebanyakan arak dijual di kawasan kejiranan Melayu Muslim seperti di kedai serbaneka dan runcit biasa. Bimbang dengan jualan secara terbuka ini yang mana telah menyebabkan berlaku peningkatan peminum arak dari kalangan anak orang-orang Islam sebagaimana statistik melaporkan berlakunya peningkatan, baik disebabkan dari pengaruh rakan sebaya, mahupun dari perasaan ingin tahu atau sekadar mencuba-cuba.
6. Larangan oleh DBKL ini harus disambut baik oleh semua pihak kerana garis panduan baharu itu adalah untuk kebaikan semua dan MUAFAKAT mengharapkan agar perkara berkenaan tidak dipolitikkan, seperti yang dilakukan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai dalam suatu kenyataan media berbahasa Mandarin kelmarin menyebut beliau akan mengumpul bantahan terhadap garis panduan baharu penjualan arak di Kuala Lumpur, seperti dipetik Malaysiakini.
Rujuk:
https://m.malaysiakini.com/news/551329
7. Larangan penguatkuasaan berkenaan tidak bermakna masyarakat bukan Islam tidak dibenarkan meminum minuman keras sebaliknya ia lebih kepada untuk mengawal penjualan berkenaan mengikut garis panduan undang-undang yang ditetapkan. Namun begitu, kita yakin agama-agama lain juga melarang meminum arak yang boleh memudaratkan peminum mabuk hingga tidak sedarkan diri.
Rujuk: https://www.mynewshub.tv/utama-sensasi/arak-sebenarnya-dilarang-semua-agama/
8. Langkah DBKL ini secara tidak langsung dapat membendung penyalahgunaan dan penjualan minuman keras, serta mengurangkan kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan kematian akibat dari pemandu mabuk. Allah SWT berpesan: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah Al-Maidah: ayat 91)
9. Kecewa dengan sikap golongan Islam Liberal yang bantah dan mempertahankan penjualan arak di kedai serbaneka dan runcit, MUAFAKAT ingin mengingatkan dengan hujah; Abu Hurairah RA berkata, “Ketika aku tahu Rasulullah SAW sedang berpuasa, maka aku mempersiapkan minuman untuk Baginda berbuka yang aku taruhkan dalam labu. Setelah aku datang kepada Baginda dengan membawa minuman itu, Baginda bersabda: “Bawalah minuman itu ke sini.” Ketika aku menyodorkan minuman itu kepada Baginda, ternyata minuman itu telah berbuih, maka sabda Baginda, “Buanglah minuman ini di kebun kerana ini adalah minuman bagi orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhir.” Kata Abu Abdur Rahman: “Hadis ini adalah dalil haramnya minuman keras baik sedikit mahupun banyak.
10. Tidak sebagaimana kata mereka yang hanya menipu dirinya sendiri, mereka mengharamkan minuman itu bila mereka mabuk, tetapi bila hanya meminum sedikit dan tidak mabuk, maka mereka kata ia tidak haram. “Hakikatnya tiada perselisihan para ulama, bahawa minuman yang memabukkan ini adalah haram secara menyeluruh; mabuk ataupun tidak, hukumnya tetap haram.”
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA