Isu halal haram ini sangat sensitif di hati umat Islam terutamanya bagi orang Melayu apabila ia berkaitan dengan makan dan minum. Pendedahan aktiviti penyeludupan daging haram selama lebih 40 tahun oleh kartel daging sangat mengejutkan umat Islam.
2. Justeru, dengan tegasnya Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) mendesak kerajaan supaya bertindak segera terhadap kartel daging berkenaan dengan menarik balik semua daging haram yang telah terlepas dan tersebar ke dalam pasaran Malaysia. Kelewatan bertindak akan menyebabkan daging berkenaan sampai ke tangan umat Islam.
3. Mendukacitakan sehingga kini media melaporkan kerajaan masih belum mendedahkan identiti petualang kartel daging yang terlibat dan jenama yang digunakan. Keadaan ini membuatkan MUAFAKAT berasa amat curiga dan sangsi mengapa identiti terbabit yang telah melakukan jenayah besar terhadap umat Islam ini disembunyikan, melainkan jika ia untuk kerahsiaan siasatan lebih mendalam, dan kami berharap tidak ada penglibatan pegawai-pegawai kerajaan dalam isu ini.
4. Sejak tersebarnya isu ini, umat Islam di Malaysia berasa resah kerana berkemungkinan telah menjadi mangsa pemakan daging haram ini, yang telahpun berada di pasaran sekian lama dan paling menghairankan bagaimana petualang kartel ini boleh dibiarkan beroperasi sejak lebih 40 tahun? Ini menimbulkan persoalan keintergritian JAKIM dalam mengeluarkan logo halal secara tidak langsung mencemar kewibawaan institusi tersebut.
5. Kerajaan wajar menggerakkan siasatan bersepadu hingga ke akar umbi bagi membongkar isu ini dan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua pihak yang terlibat. MUAFAKAT melihat jenayah ini terlalu berat dan tidak sepatutnya ada yang terlepas daripada tindakan hukuman.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA