KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRANITA PUTRA MALAYSIA
1. Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan berita kematian adik Zubaidi Amir Qhusyari bin Abdul Malik, 7 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera sehingga terbunuh, yang mengundang rasa sedih dan simpati seluruh rakyat Malaysia. Apatah lagi kematian ini melibatkan ibu kandung dan bapa tiri mangsa sendiri. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat. Ibu dan bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak yang memerlukan kasih sayang dari mereka.
2. Wiranita PUTRA amat berharap agar pihak berkuasa atau pihak yang bertanggungjawab dapat mendakwa sesiapa sahaja yang terlibat ke atas kes penderaan kanak-kanak seperti ini walaupun puncanya datang dari keluarga itu sendiri. Pihak bertanggungjawab juga perlu memberi pengajaran kepada si pelaku agar menjadi pedoman dan tauladan kepada masyarakat supaya hal sebegini tidak dipandang enteng.
3. Wiranita PUTRA juga menggesa pihak kerajaan dan masyarakat untuk ambil peduli masalah penderaan ini kerana ia melibatkan nyawa dan masa depan mangsa, terutama penderaan fizikal, emosi dan seksual. Ambil tahu dan ambil peduli apa yang berlaku di sekeliling kita demi menjaga kemaslahatan sejagat. Sikap ‘membiarkan’ dalam kalangan masyarakat pada hari ini perlu dibendung supaya negara dijaga dari anasir atau perlakuan yang mendatangkan mudarat.
4. Wiranita PUTRA menasihatkan kepada masyarakat di luar agar sentiasa peka dengan tangisan dan teriakan, atau tangisan yang luar biasa bunyinya. Kerapkan berkunjung dan bertanya khabar sesama kejiranan dan rangkaian yang didapati bermasalah. Jika keadaan meragukan, segera laporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya. Pihak berwajib pula janganlah ambil masa yang lama untuk membuat siasatan, segerakan hal-hal yang berkaitan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.
5. Wiranita PUTRA juga mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan yang tegas dan serius berkaitan isu kanak-kanak ini mengikut peruntukan undang-undang Akta Kanak-Kanak 2001. Akta 611 haruslah dipraktikkan sepenuhnya bagi membendung penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak.
6. Wiranita PUTRA menghargai kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang bermasalah atau tiada bimbingan serta didikan perlu berada pada tempat yang sepatutnya. Jangan sia-siakan masa depan dan pembesaran mereka kerana mereka perlu memimpin negara di masa akan datang.
Sekian.
Oleh Ros Hanita Binti Mohd Basir
Ketua Wiranita PUTRA Malaysia