KES ROSLIZA SEJAK AWAL BUKAN SEORANG ISLAM

573
SHARES
1.8k
VIEWS

Oleh Aidil Khalid

Pagi hari ini, 5 Februari 2021, wanita yang dilahirkan di luar nikah, berbapakan seorang Muslim dan ibu penganut agama Buddha, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai bukan Muslim.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakiman dengan keputusan majoriti 7-2 itu yang disampaikan melalui sidang dalam talian membenarkan rayuan Rosliza Ibrahim serta permohonannya.

Ini ialah antara inti pati keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosliza Ibrahim mengenai kedudukan agamanya tadi.

Dalam pada mahkamah memutuskan bahawa dia diisytiharkan sebagai bukan Islam (kerana ibunya beragama Buddha, dan tidak pernah berkahwin dengan bapanya walaupun bapanya itu beragama Islam, sekaligus menjadikan statusnya tidak sah taraf, serta dia pula tidak pernah dibesarkan dengan didikan agama Islam, maka kerana itu dia adalah dari asal lagi bukan beragama Islam); tetapi dalam masa yang sama, mahkamah juga menegaskan bahawa jika seseorang itu pada asalnya adalah beragama Islam, dan kemudian ingin murtad untuk keluar Islam, maka mahkamah yang ada bidang kuasa adalah Mahkamah Syariah.

Dalam perenggan 60 dan 61, secara nyata ditegaskan di situ, bahawa apabila seseorang itu telah menjadi Muslim, maka proses untuk murtad mesti mengikut hukum-hakam fiqh Islam.

Seseorang itu tidak boleh meninggalkan Islam secara keputusan sendiri semata-mata, sebaliknya mesti melalui proses yang sah di Mahkamah Syariah: “[61] In other words, one cannot unilaterally on his own accord ‘renounce’ the religion of Islam. Doing so would amount to an offence against the precepts of Islam. In such an instance, the Syariah Court would have both jurisdictions ratione personae and ratione materiae.”

Jadi isunya di sini adalah fokus kepada isu bidang kuasa.

Jika seseorang itu dari asalnya lagi bukan Islam, tetapi telah secara khilaf didaftarkan dalam surat beranak atau kad pengenalan sebagai Islam misalnya, maka Mahkamah Sivil ada bidang kuasa untuk isytihar dia bukan Islam untuk betulkan kekhilafan dalam kad pengenalannya itu; manakala jika seseorang itu asalnya beragama Islam, tetapi kemudian hendak keluar Islam (murtad), maka mahkamah sivil tidak ada bidang kuasa itu, sebaliknya hanya Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan dan memutuskan.

(Penulis merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts