ANWAR IBRAHIM ADA HAK, MUHYIDDIN JUGA ADA HAK, TETAPI YDP AGONG LEBIH BERHAK

542
SHARES
3.2k
VIEWS

Hak Anwar Ibrahim untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong (YDP Agong) bagi mempersembahkan jumlah majoriti yang dimilikinya. Ya, itu adalah haknya, yang tidak boleh dipertikaikan (walaupun ada ‘ahli’ akademik dakwa kononnya hanya PM sahaja yang boleh menghadap YDP Agong, tapi dakwaan itu jelas tidak benar dan tersasar).

Tetapi bila bercakap soal hak, kita kena faham bahawa pihak-pihak lain juga ada hak mereka masing-masingnya. Bukan Anwar seorang sahaja.

Contohnya, kalaupunlah nanti Anwar berjaya untuk membuktikan kepada YDP Agong bahawa dia memiliki majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan; Tan Sri Muhyiddin pula mempunyai haknya di sisi Perlembagaan untuk memilih sama ada untuk meletakkan jawatan; atau jika dia tidak mahu, untuk membubarkan sahaja Parlimen (dan jika ini berlaku, maka perlu PRU semula). Ini adalah hak Tan Sri Muhyiddin, yang tidak boleh dipertikai, di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi sekarang tengah Covid” – ya, memang tengah Covid, tetapi kita tengah bercakap tentang hak, justeru kita tidak boleh nafikan hak Muhyiddin yang jelas dalam Perlembagaan. Bukan Anwar sahaja yang ada hak.

Tetapi urusan hak tidak terhenti sekadar kepada mereka berdua sahaja. Selain Anwar dan Muhyiddin, YDP Agong juga mempunyai hak baginda yang tersendiri. Jika diminta oleh Muhyiddin untuk membubarkan Parlimen, YDP Agong berhak untuk tidak memperkenankannya. Kuasa untuk tidak memperkenankan, walaupun diminta oleh Perdana Menteri ini, ada diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(b) Perlembagaan.

Bahkan kuasa YDP Agong tidak terhenti di situ. Di bawah Perkara 150 Perlembagaan pula, jika YDP Agong merasakan para politikus di negara kita dari kedua-dua belah pihak, baik di kem kerajaan mahupun di kem pembangkang terlalu rakus sehingga membahayakan keselamatan awam (mengambil kira keadaan pandemik Covid-19, dan lain-lain), maka YDP Agong bahkan berkuasa untuk memproklamasikan darurat. Dan Parlimen juga bahkan boleh digantung, supaya politikus rakus hilang kerja.

Hak ini adalah hak YDP Agong yang tidak boleh dicabar di mahkamah, dan kita ada precedent mengenai hal ini.

Perkara ini pernah berlaku pada tahun 1966. Pada waktu itu, Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan kehilangan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN). YDP Agong kemudiannya menggunakan kuasa dan budi bicara baginda untuk mengisytiharkan darurat di Sarawak. Stephen yang kehilangan jawatannya cuba mencabar keabsahan proklamasi darurat itu di mahkamah, tetapi mahkamah telah menolak permohonannya itu, atas alasan bahawa ia adalah budi bicara dan kuasa yang sah oleh YDP Agong.

Jadi, jika benarlah Anwar ada sokongan majoriti pada 13 Oktober ini nanti, dan atas hak-hak yang bertindan di antara Anwar, Muhyiddin dan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, maka ada empat kemungkinan yang boleh berlaku:-

a. Muhyiddin mungkin meletakkan jawatannya, dan YDP Agong melantik Anwar sebagai PM ke-9; atau

b. Muhyiddin mungkin memohon agar Parlimen dibubarkan, dan YDP Agong perkenan, maka PRU semula (dan sementara menunggu PRU, Muhyiddin kekal sebagai caretaker PM); atau

c. Muhyiddin mungkin memohon agar Parlimen dibubarkan tetapi YDP Agong pula tidak perkenan, dan YDP Agong melantik Anwar sebagai PM; atau

e. Atas kepentingan dan keselamatan awam, YDP Agong berkuasa isytihar darurat.

Kesemua kemungkinan ini adalah valid dan sah di sisi Perlembagaan, jadi kita tunggu dan lihat bagaimanakah plot dan perkembangan drama ini nanti.

Oleh Aidil Khalid

Peguambela & Peguamcara

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts