KISAH ANTI-VAKSIN, ISU PERDANA MENTERI BARU DAN HARAPAN KEPADA YDP AGONG

256
SHARES
825
VIEWS

Siri 2

Oleh Aduka Taruna

1. Anti vaksin jadi kambing hitam. Itulah yang mula diperkatakan apabila pemimpin kerajaan mahu mengambil tindakan ke atas golongan anti vaksin. Sebenarnya golongan anti vaksin ini terlalu kecil dan ia tidaklah berpengaruh sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

Apa yang sebenarnya sedang  berlaku adalah sikap kritis dalam kalangan masyarakat berhubung pelbagai perkara dan isu berkaitan program vaksinasi Covid-19. Ini terutamanya menyentuh banyak kelemahan dan kepincangan seperti pengendalian urusan di pusat vaksinisasi  dan berkaitan pendaftaran.

Sehingga tulisan ini disiarkan,  rakyat masih berdepan kesukaran mendaftar untuk pengambilan vaksin selain isu kos luar biasa aplikasi  yang tular di media sosial.  Begitu juga mereka terpaksa beratur panjang dan menanti lama  di pusat vaksin.

Banyak negara, sudah lama mengambil pendekatan berkesan dan pro aktif seperti melakukan vaksin melalui pandu lalu, di kawasan perumahan dan di hospital swasta serta klinik swasta.

Gelombang pandangan kritis yang meluas ini tidak boleh dianggap sebagai anti-vaksin kerana ia sama sekali tidak menolak vaksin. Sepatutnya kerajaan mengatasi segera segala kelemahan dan kekurangan termasuk dalam aspek komunikasi kepada rakyat.

Sebagai contoh, perlu diberi penjelasan terhadap kes-kes  kematian selepas mengambil suntikan vaksin dan bukan membiarkan ia menjadi isu menghantui rakyat. Semua orang tahu peratus pengambilan vaksin yang masih rendah dalam kalangan rakyat disebabkan kelemahan kerajaan itu sendiri.

Jangan lupa penerimaan vaksin dan pelaksanaan program imunisasi di negara ini agak lewat berbanding negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. Dari segi pendaftaran, pada peringkat awal lagi,  kerajaan terlalu menumpukan pendaftaran melalui digital sedangkan ia boleh dilakukan secara manual di kawasan pinggir dan luar bandar dengan bantuan pelbagai agensi.

Dalam hubungan ini adalah tidak wajar kerajaan mengambil pendekatan untuk menekan golongan anti-vaksin seolah-olah gerakan itu mendapat sokongan majoriti rakyat. Golongan anti-vaksin ini tidak seharusnya menjadi kambing hitam di sebalik kelemahan kerajaan itu sendiri.

Percayalah golongan anti-vaksin dengan sendirinya akan ditolak oleh masyarakat kerana rakyat masih tahu menilai apa yang terbaik. Apatah lagi jika kerajaan mempunyai kemampuan terbaik dalam komunikasi di semua peringkat untuk menyakinkan rakyat.

2. Langkah kerajaan PN diketuai Bersatu untuk menimbang mengadakan persidangan Dewan Rakyat secara ‘hibrid’ menarik perhatian. Namun cadangan tersebut ditolak banyak pihak dan orang ramai.

Apa yang yang rakyat mahukan adalah persidangan Dewan Rakyat secara bersemuka dan ia sebenarnya boleh dilakukan dengan SOP ketat. Sekiranya sekolah dan tadika boleh dibuka sebelum ini selain kilang, kenapa tidak sidang Parlimen?

Lagipun seluruh Ahli Parlimen telahpun mengambil suntikan vaksin lengkap selain sudah ditambah penghadang atau perisai di meja setiap YB di dalam dewan tersebut. Kegagalan kerajaan PN membuka semula sidang Parlimen di bawah pelaksanaan  darurat menyebabkan imej kerajaan merudum. Bukan itu sahaja, ia turut mengheret Yang DiPertuan Agong kepada kritikan dan tohmahan yang tidak sewajarnya.

Malaysia menjadi satu-satunya negara mengambil langkah berundur ke belakang dengan menggantung Parlimen kononya bagi menangani pandemik Covid-19. Hakikatnya semua orang tahu bahawa kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang hilang kuasa sekiranya persidangan Dewan Rakyat dibuka ekoran   kedudukan sokongan yang genting.

Apabila Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hamzah Zainuddin mendakwa Parlimen belum boleh dibuka kerana khuatir akan menjejaskan sasaran mewujudkan imuniti  kelompok, ramai yang sinikal dan membantah.

Malangnya sejak penggantungan Parlimen, Speaker Dewan Rakyat, Dato Azhar Harun dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim hanya akur.

Awal minggu ini, barulah Tan Sri Rais bersuara membayangkan bahawa konsep demokrasi berparlimen perlu dipelihara dan dipertahankan. Nada Tan Sri Rais mulai positif sedangkan sebelum ini beliau dan Dato Azhar membisu dengan merestui penggantungan Parlimen.

Ini berbeza dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato Seri Azalina Said Othman yang lantang mahukan sidang Parlimen dibuka semula selaras prinsip demokrasi. Beliau sedikitpun tidak goyah dan pendiriannya konsisten sejak awal lagi. Tabik kepada beliau kerana berani menegakkan kebenaran.

3. Sudah sampai masanya kerajaan PN memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas pelbagai kegagalan termasuk menggantung Parlimen. Langkah pertama adalah dengan segera membuka semula Parlimen dan Dewan Negara  bagi membolehkan semua Ahli Parlimen pelbagai parti berbahas dan mendapat pencerahan dalam pelbagai isu.

Langkah tersebut juga akan meredakan keresahan mahukan kemarahan ke atas YDP Agong. Kerajaan PN tidak lagi boleh ditafsir mempergunakan Istana Negara untuk kepentingan dan survival politik.

Maka pertemuan YDP Agong dengan para pemimpin politik bermula minggu ini mempunyai signifikan besar. Menjadi harapan rakyat bahawa perbincangan dalam siri pertemuan itu nanti menjangkaui soal pandemik Covid-19 semata-mata. Langkah yang paling dituntut adalah kerajaan PN perlu menamatkan segera penggantungan Parlimen. 

4. Secara tidak langsung ia akan memulihkan imej dan membetulkan persepsi ke atas Istana Negara yang terjejas dengan serius sejak pelaksanaan darurat serta penggantungan Parlimen. Sebagaimana dilaporkan media, pertemuan YDP Agong dengan para pemimpin politik semua parti, adalah bagi mendapatkan maklum balas dalam beberapa isu utama menjelang persidangan Majlis Raja-Raja Melayu.

Antara yang paling panas adalah isu cadangan pelaksanaan darurat kecemasan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelbagai cerita politik kemudian berlegar termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan dan dilantik Perdana Menteri interim.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Menteri Luar, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn dan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah. Sekiranya Dato Seri Hishamuddin menjadi Perdana Menteri, beliau dikatakan akan bergandingan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Seri Azmin Ali.

Apapun, desas-desus dan cerita yang berlegar, majoriti rakyat mahukan perubahan segera kepada kemelut yang melanda negara. Sudah makin jelas Malaysia kini ditadbir oleh kerajaan yang gagal sebagaimana menjadi trending.

Gesaan agar Perdana Menteri berundur makin kuat arusnya. Namun Dato Seri Hishamuddin bukan calon yang popular dalam kalangan rakyat akar umbi. Menteri Kanan Keselamatan, Dato Seri Ismail Sabri dilihat calon yang lebih sesuai dan diterima ramai. Lagipun beliau mempunyai kedudukan paling kanan dalam UMNO berbanding Hishamuddin.

5. Dalam hubungan ini, YDP Agong dan Institusi Raja wajar mendapatkan analisis sebenar agar dapat mengambil pendirian yang tepat dan terbaik. Kegagalan berbuat demikian akan menghakis keyakinan dan rasa hormat rakyat terutama generasi muda kepada Institusi Raja.

Lebih-lebih lagi ia akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menggugat Istitusi Raja dalam usaha mewujudkan negara republik. Sekiranya episod-episod pertemuan YDP Agong bersama para pemimpin politik tidak membawa penyelesaian yang diharapkan rakyat, institusi ini akan terdedah kepada kritikal yang lebih meluas dan membimbangkan.

Pagar-pagar kukuh yang selama ini melingkari Institusi Raja jangan dibiarkan goyah apatah lagi roboh. Konsep Raja dan rakyat berpisah tiada, berisiko terlerai daripada ikatannya. Dengan kata lain, janganlah korbankan dengan mudahnya Institusi Raja yang perlu dijunjung dan pertahankan. Inilah antara situasi yang mencabar kepada YDP Agong dan Majlis-Majlis Raja-Raja Melayu.

Maka ambillah keputusan yang adil, bijak dan tegas demi kepentingan rakyat dan negara. 

(Aduka Taruna adalah penganalisis politik yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat)

Siri Ketiga akan disiarkan minggu depan, Siri Satu boleh dibaca di pautan; https://editormalaysia.com/23069/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts